WHO akan tetapkan garis panduan pil antiviral COVID-19

Astro Awani
November 13, 2021 08:00 MYT
Gambar menunjukkan pil antiviral COVID-19 keluaran Merck. WHO berharap dapat mengadakan mesyuarat bagi menetapkan garis panduan mengenai penggunaan pil antiviral COVID-19. -Gambar fail/Reuters
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berharap dapat mengadakan mesyuarat bagi menetapkan garis panduan mengenai penggunaan pil antiviral COVID-19.
Kata agensi kesihatan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, pil antiviral COVID-19 menawarkan prospek baharu yang sangat menarik untuk tujuan klinikal.
Awal bulan ini, Britain menjadi negara pertama meluluskan salah satu pil yang berpotensi mengubah situasi semasa COVID-19.
Pegawai tinggi WHO untuk respons penjagaan klinikal, Janet Diaz berkata, mesyuarat berkenaan garis panduannya akan mempertimbangkan persoalan pil antiviral COVID-19 dalam tempoh tiga minggu.
Pegawai program kecemasan WHO, Mike Ryan pula berkata, penemuan awal pada pil antiviral COVID-19 itu sangat dialu-alukan.
Jelasnya, mempunyai pendekatan kedua untuk merawat mereka yang dijangkiti adalah sangat baik dan dapat menyelamatkan nyawa.
Minggu lalu, Pfizer-BioNTech berkata, pil antiviral klinikalnya untuk merawat COVID-19 mengurangkan sebanyak 89 peratus kemasukan ke hospital atau kematian bagi orang dewasa yang berisiko menghidap penyakit yang teruk.
Pada taklimat yang sama, ketua pegawai undang-undang WHO, Steven Solomon berkata perbincangan mengenai perjanjian antarabangsa untuk meningkatkan kesiapsiagaan wabak sedang berlangsung menjelang mesyuarat utama badan itu akhir bulan ini.
Perbincangan juga sedang dijalankan mengenai penyenaraian penggunaan kecemasan yang berpotensi untuk vaksin Sputnik V dari Rusia.
#COVID-19 #Pfizer-BioNTech #WHO #pil antiviral
;