White house umum wujudkan Jawatankuasa Khas atasi koronavirus
Agensi
Januari 30, 2020 15:13 MYT
Januari 30, 2020 15:13 MYT
WHITE House mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas pada Rabu bagi menangani ancaman penularan wabak koronavirus khususnya di Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu kenyataan, White House berkata, jawatankuasa yang dikenali sebagai "Jawatankuasa Khas Koronavirus Presiden" akan membantu kerajaan AS untuk membuat pemantauan dan pengekangan penyebaran virus itu.
Jawatankuasa itu akan memastikan setiap rakyat AS mendapat maklumat yang tepat dari semasa ke semasa termasuk jadual penerbangan.
Kata kenyataan itu lagi, anggota-anggota jawatankuasa itu telah mengadakan pertemuan setiap hari sejak Isnin lalu.
Malah, Presiden AS, Donald Trump turut memuat naik gambar dalam akaun Twitter peribadinya mengenai pertemuan yang berlangsung pada petang semalam dengan menyatakan pihaknya akan “terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa”.
Dalam tweet yang sama, Trump turut memaklumkan bahawa beliau telah bercakap dengan Presiden China, Xi Jiping, baru-baru ini berkenaan pengekangan koronavirus di Wuhan.
Bagaimanapun, jurucakap White House melaporkan kepada CNN bahawa kali terakhir kedua-dua pemimpin itu berhubung pada bulan Disember tahun lalu.
#Amerika Syarikat
#AS
#China
#Donald Trump
#koronavirus
#presiden
#rakyat
#Tweet
#Twitter
#White House