White House tutup 21 kedutaan dan pejabat konsulat di negara Islam

Astro Awani
Ogos 4, 2013 13:13 MYT
Amerika Syarikat menutup 21 kedutaan dan pejabat konsulatnya di negara Islam termasuk di Jordan berkuatkuasa pada Sabtu dan Ahad.
Penutupan dibuat sehari selepas White House mengeluarkan amaran berhubung ancaman serangan kumpulan Al Qaeda.
Pengumuman dibuat Pengerusi Ketua Turus Angkatan Tentera Amerika Syarikat, Jeneral Martin Dempsey.
Dalam kenyataannya, Dempsey mendakwa pergerakan Al-Qaeda dan sekutunya kini mensasarkan untuk menyerang kepentingan kerajaan Amerika atau rakyat negara itu.
Amaran itu dikeluarkan sehingga 31 Ogos.
Langkah berkenaan diambil selepas risikan berjaya memintas komunikasi elektronik antara pegawai kanan Al-Qaeda, mengenai rancangan serangan tersebut.
Menurut Jabatan Negara, potensi serangan tertumpu ke Asia Barat dan Afrika Utara.
Ia mendedahkan secara spesifiknya, Yaman sebagai antara sasaran utama.
Amaran ini merupakan yang pertama seupamanya selepas insiden serangan sebelas September.
Pengumuman itu turut menyaksikan sejumlah besar anggota keselamatan ditempatkan di kedutaan dan pejabat konsulat untuk mengawal keadaan.
#Al-Qaeda #kedutaan #Martin Dempsey #pengganas
;