White House "tidak boleh mengesahkan" laporan Ismail Haniyeh terbunuh di Iran

Astro Awani
Julai 31, 2024 23:00 MYT
John Kirby berkata, White House "tidak dapat mengesahkan " laporan daripada Hamas bahawa pemimpin politik kumpulan itu, Ismail Haniyeh terbunuh dalam serangan Israel di ibu negara Iran, Tehran. - Foto fail/AP
WASHINGTON: Jurucakap keselamatan negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby berkata, White House "tidak dapat mengesahkan " laporan daripada Hamas bahawa pemimpin politik kumpulan itu, Ismail Haniyeh terbunuh dalam serangan Israel di ibu negara Iran, Tehran.
Beliau bagaimanapun mengakui, kematian Ismail semalam dan komander kanan Hezbollah, Fu'ad Shukr di selatan Beirut pada Selasa "sudah tentu tidak membantu meredakan suhu (ketegangan) ketika ini."
"Saya tidak akan bersikap optimis mengenainya - kami jelas bimbang tentang peningkatan (ketegangan)," kata Kirby kepada pemberita semasa taklimat akhbar White House pada Rabu.
"Semua ini menambah kerumitan terhadap apa yang kami cuba lakukan."
[LAPOR LANGSUNG]: Acara penghormatan terakhir di Tehran, Ismail Haniyeh akan dikebumi di Doha - Laporan
Dalam perkembangan sama, Presiden AS, Joe Biden, kata Kirby, telah diberi taklimat mengenai laporan itu.
Bagaimanapun, beliau tidak memberi sebarang maklumat tambahan mengenai bila Presiden dimaklumkan mengenai serangan tersasar ini.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken memberitahu wartawan yang menyertai lawatannya ke Singapura bahawa AS "tidak mengetahui atau terlibat" dalam pembunuhan pemimpin Hamas itu.
Awal Rabu, CNN melaporkan, Blinken telah berhubung dengan Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi dalam usaha memastikan rundingan gencatan senjata di landasan yang betul sekalipun selepas kematian Ismail.
Israel tidak mengesahkan mahupun menafikan menjadi dalang di sebalik pembunuhan Ismail.
Sebaliknya, dalam kenyataan yang dikeluarkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk terus berperang sambil mendakwa negaranya telah memberikan "pukulan hebat" kepada musuh-musuhnya.
Ismail merupakan tokoh kedua kumpulan yang disokong Iran yang dibunuh pada Rabu, susulan pembunuhan oleh Israel terhadap komander kanan Hezbollah di Lubnan.
#Ismail Haniyeh #Ismail Haniyeh dibunuh #White House #John Kirby