White House rancang perubahan akses media ke atas Presiden Trump
Agensi
Februari 25, 2025 06:45 MYT
Februari 25, 2025 06:45 MYT
Gambar fail pada 2017 menunjukkan Presiden Donald Trump bercakap kepada wartawan semasa penggal pertama pentadbirannya. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Pentadbiran White House merancang melakukan perubahan besar dalam amalan akses media dengan mengawal kumpulan wartawan yang dikenali sebagai “press pool” yang dibenarkan berada dalam kumpulan kecil bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Press pool ini merangkumi wakil dari televisyen, media cetak, radio, agensi berita dan fotografi yang mengiringi Presiden dalam pesawat Air Force One dan di tempat-tempat kecil seperti Pejabat Oval atau Bilik Roosevelt.
Mereka berkongsi maklumat dengan rakan sekerja mereka di agensi lain melalui “pool reports” yang dihantar melalui e-mel.
“Selama beberapa dekad, sekumpulan wartawan yang berpangkalan di DC, iaitu White House Correspondents Association, telah menentukan siapa yang boleh menyoal presiden Amerika Syarikat dalam ruang yang paling eksklusif ini. (Selepas ini) tidak lagi,” kata Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, dalam sidang media, di sini, pada Selasa.
Menurut Leavitt: “Mulai sekarang, press pool White House akan ditentukan oleh pasukan media White House.”
Pengumuman ini dibuat sehari selepas seorang Hakim Persekutuan menolak permohonan sementara untuk mengembalikan akses agensi media Associated Press ke beberapa acara Trump, termasuk di Pejabat Oval dan Air Force One.
Leavitt juga menyatakan, agensi berita tradisional masih dibenarkan menyertai acara Presiden, tetapi “suara-suara baharu juga akan dialu-alukan” termasuk perkhidmatan penstriman, hos radio dari seluruh negara dan platform media baharu.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran khusus mengenai penggiliran baharu ini.
“Sekumpulan kecil wartawan yang berpangkalan di DC tidak seharusnya lagi memonopoli keistimewaan akses media di White House,” katanya. - Agensi