WhatsApp bangunkan ciri perkongsian fail pantas seperti AirDrop

Amanz
Januari 21, 2024 11:15 MYT
Dengan langkah ini, pemindahan fail berlaku antara peranti, tanpa perlu dimuat naik oleh penghantar dan muat turunnya kembali oleh penerima. -Gambar fail/Reuters
WHATSAPP kini dilihat sedang membangunkan sebuah ciri perkongsian fail pantas, seperti yang ditawarkan oleh Apple melalui AirDrop atau Android melalui QuickShare.
Dengan langkah ini, pemindahan fail berlaku antara peranti, tanpa perlu dimuat naik oleh penghantar dan muat turunnya kembali oleh penerima.
Melalui versi pembangunan terbaharu di Android yang dikongsikan oleh WABetaInfo, ciri ini memperlihatkan pengguna boleh melakukan perkongsian fail dengan mereka yang berdekatan dengan mudah menerusi aplikasi WhatsApp.
Mengikut paparan skrin yang diperlihatkan, ia menunjukkan kedua-dua pengguna perlu membuka aplikasi untuk menghantar dan menerima dokumen dan fail.
Had pemindahan dan jarak tidak diketahui lagi, tetapi pihak WhatsApp sedia menyokong kepada penghantaran fail sehingga 2GB melalui aplikasi mereka.
Buat masa ini, ia tidak diketahui bilakah WhatsApp akan memperkenalkan ciri baharu ini secara rasminya. Sama-sama kita nantikan lanjut berkenaan dengan ciri menarik ini. -Amanz
#WhatsApp #QuickShare #AirDrop #ciri perkongsian fail pantas
;