WFP beri amaran krisis kemanusiaan di Afghanistan

Astro Awani
Oktober 7, 2021 08:30 MYT
Mary-Ellen berkata, penduduk Afghanistan kini hanya boleh mengeluarkan sekitar AS$200 seminggu dan ada yang langsung tidak boleh mengeluarkan wang simpanan mereka. - REUTERS
PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terus memberi amaran yang ekonomi Afghanistan berada dalam situasi sangat sukar.
Tambahnya, krisis kemanusiaan dijangka berlaku akibat daripada krisis ekonomi dan kemarau ketika ini.
Menurut Wakil Program Makanan Sedunia (WFP) PBB di Afghanistan Mary-Ellen McGroarty, selepas 15 Ogos, simpanan luar Afghanistan dibekukan sementara bantuan bajet dan pembangunan digantung.
Tambahnya, penduduk Afghanistan kini hanya boleh mengeluarkan sekitar AS$200 seminggu dan ada yang langsung tidak boleh mengeluarkan wang simpanan mereka.
"Orang ramai menjual barangan rumah mereka, permaidani, perkakasan elektrik, pinggan mangkuk untuk membeli makanan.
"Mereka tidak makan setiap hari dan mereka mengurangkan jumlah makanan mereka. Mereka makan sedikit makanan yang berkhasiat. Banyak ibu bapa yang tidak makan supaya anak mereka boleh makan.
"Keadaan akan menjadi lebih sukar. Musim sejuk akan tiba dan ia sangat buruk di Afghanistan, terutama dengan harga minyak yang meningkat.
"Orang akan sukar untuk mencari makanan dan memanaskan badan.
"Saya telah berada bersama WFP untuk tempoh yang lama dan ini adalah kali pertama saya lihat krisis meningkat dengan kadar seperti ini di Afghanistan," katanya di New York pada Rabu.
Menurut PBB, rayuan untuk bantuan AS$606 juta yang dilancarkan pada September untuk membantu 10 juta warga Afghanistan kini hanya dapat menarik 40 peratus daripada jumlah diperlukan.
WFP melaporkan yang gabungan agensi PBB di Aghanistan telah membantu 5 juta orang pada September dan lebih banyak bantuan perlu disalurkan.
#Afghanistan #ekonomi #krisis kemanusiaan #Mary-Ellen McGroarty
;