WEF2023: Pemimpin Asia perlu lebih lantang soal ESG - Amir Fareed
Israr Khalid
Januari 16, 2023 04:40 MYT
Januari 16, 2023 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pemimpin Asia perlu bersuara lebih lantang dalam mengangkat isu kelestarian alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) dalam Forum Ekonomi Sedunia (WEF) kali ini.
Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim berkata, perlu ada perbincangan yang benar-benar terbuka untuk mencari solusi yang praktikal terhadap isu yang tidak mengetengahkan agenda negara-negara tertentu.
Misalnya beliau melihat WEF 2022 yang lalu didominasi oleh suara-suara Eropah yang begitu rancak mengangkat isu perang Rusia-Ukraine yang baru meletus ketika itu, tetapi ada pelbagai lagi konflik di dunia yang memerlukan perbincangan yang lebih mendalam.
“Selain daripada kita menerapkan prinsip ESG dalam pelbagai dasar kerajaan dan juga pendekatan oleh syarikat-syarikat multinasional serta badan-badan korporat, kita juga perlu memikirkan tentang transisi ESG yang lebih adil dan saksama.
“Naratif ESG tak boleh didominasi oleh mana-mana satu pihak sahaja, pihak Barat tak boleh memberitahu kita bagaimana kita harus laksanakah langkah-langkah ESG ini,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Maka beliau berharap pemimpin Timur dapat turut melaungkan isu ini bukan sahaja di dalam mesyuarat-mesyuarat sampingan tetapi di pentas utama persidangan yang terbuka.