WEF2023: Nusantara langkah Indonesia keluar perangkap pendapatan sederhana
Harits Asyraf Hasnan
Januari 17, 2023 06:00 MYT
Januari 17, 2023 06:00 MYT
DAVOS: Pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan, Indonesia merupakan antara medium utama dalam membawa republik itu keluar daripada perangkap negara berpendapatan sederhana.
Timbalan Menteri Ekonomi Indonesia, Amalia Adininggar Widyasanti berkata pembangunan holistik IKN akan menyokong proses transformasi ekonomi negara itu yang statik selama lebih 30 tahun.
"Mengapa IKN ini boleh menjadi salah satu enjin pertumbuhan ekonomi masa hadapan Indonesia? Ini kerana dengan adanya pengembangan IKN ini, kita bukan sahaja memindahkan ibu kota ke Nusantara tetapi kita juga menciptakan enam kluster ekonomi yang akan jadi enjin pembangunan masa hadapan Indonesia.
"Ini akan menjadi sumber baharu pertumbuhan ekonomi Indonesia masa depan supaya Indonesia boleh keluar daripada perangkap pendapatan sederhana.
"Ini bermakna Indonesia memerlukan pertumbuhan ekonomi rata-rata enam peratus setahun," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI seiring Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini pada Selasa.
Selain pembangunan IKN, lima lagi kluster ekonomi yang menjadi fokus transformasi ekonomi Indonesia sehingga 2045 adalah pembangunan sumber manusia yang kompetatif, produktiviti ekonomi, ekonomi hijau, transformasi digital dan integrasi ekonomi.
Beliau pada masa sama berpandangan, penting untuk Malaysia sebagai jiran terdekat IKN bersama-sama membangun kepulauan Borneo.
"Bukan sahaja sebagai satu rumpun, tetapi geografi kita (Malaysia-Indonesia) sangat dekat.
"Ini menjadi penting buat Indonesia untuk terus berkolaborasi dan meningkatkan kesalinghubungan ekonomi antara dua negara.
"Kita harus menjadi satu kekuatan bersama apatah lagi tahun ini Indonesia menjadi Pengerusi ASEAN dan saya fikir ia merupakan momentum terbaik untuk kita saling bekerjasama," jelasnya.
Beliau sebelum itu menjadi panel di Pavillion Indonesia, berkongsi berkenaan strategi trasformasi ekonomi republik itu menerusi pembangunan di IKN.