WEF2023: ASEAN pamer keyakinan, tekad tinggi di Davos
Bernama
Januari 22, 2023 11:30 MYT
Januari 22, 2023 11:30 MYT
DAVOS: ASEAN mempamerkan keyakinan dan tekad yang tinggi pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 yang baru sahaja berakhir, memberikan pandangan yang positif untuk rantau itu selain menyatakan bahawa isu dalam blok 10 anggota itu boleh ditangani secara baik.
Dan kenapa tidak?
Menurut statistik kumpulan serantau itu, ASEAN mencatatkan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$3.3 trilion pada 2021 (AS$1 = RM4.28), menjadikannya ekonomi kelima terbesar di dunia dan ketiga terbesar di Asia.
Dalam laporan yang diterbitkan pada Mac tahun lepas, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengunjurkan bahawa ASEAN akan mencatatkan pertumbuhan KDNK sebenar sebanyak 5.2 peratus pada 2022 dan 2023.
"Saya berpendapat untuk ASEAN secara keseluruhannya, terdapat banyak peluang. Kita adalah blok yang paling pesat berkembang di dunia. Kini, jumlah penduduknya ialah 660 juta," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
ASEAN berada di landasan yang baik untuk menjadi ekonomi keempat terbesar menjelang 2030, dan pada masa itu akan mempunyai jumlah penduduk kira-kira 700 juta orang dengan 61 peratus daripadanya di bawah umur 35 tahun.
Kajian telah menunjukkan bahawa ASEAN, sebagai blok berkecuali, merupakan penerima manfaat bersih daripada pembukaan semula China, kata Tengku Zafrul, yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat WEF dari 16 hingga 20 Jan 2023, di bandar peranginan ski Davos.
Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke ASEAN mencapai paras tertinggi pada 2019 sebanyak AS$182 bilion, menjadikan ASEAN sebagai penerima FDI terbesar di dunia membangun, menurut Laporan Pelaburan ASEAN 2020-2021.
Susulan impak pandemik COVID-19 yang tidak pernah berlaku sebelum ini, FDI merosot kepada AS$137 bilion pada 2020, yang agak ketara, tetapi berbanding penurunan paras FDI global, ASEAN masih mencatatkan prestasi yang baik berikutan bahagian FDI globalnya sebenarnya meningkat daripada 11.9 peratus pada 2019 kepada 13.7 peratus pada 2020.
Menurut Laporan Pelaburan ASEAN 2022, terdapat peningkatan yang kukuh dalam aliran masuk FDI pada 2021, yang melonjak sebanyak 42 peratus kepada US$174 bilion.
"Dengan pasaran yang besar dan integrasi serantau yang kukuh, ASEAN kekal sebagai destinasi FDI utama di dunia membangun - kedua selepas China - dan akan memainkan peranan penting dalam memacu pemulihan ekonomi global," menurut laporan terkini itu.
Pelaburan dari Amerika Syarikat (AS) adalah yang tertinggi, meningkat sebanyak 41 peratus kepada AS$40 bilion manakala FDI dari China melonjak sebanyak 96 peratus kepada hampir AS$14 bilion.
Momentum positif itu turut dikongsi oleh Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman dan Investasi Indonesia Luhut Binsar Pandjaitan, yang komited dalam memberi jaminan kepada forum itu bahawa semuanya adalah baik berhubung kestabilan dan prospek ekonomi ASEAN walaupun prospek untuk ekonomi global agak suram.
Menurut WEF, majoriti Komuniti Ketua Ekonomi forum itu menjangka kemelesetan global pada 2023, melihat ketegangan geopolitik terus membentuk ekonomi global dan menjangka pengukuhan monetari seterusnya di AS dan Eropah.
Katanya prospek pertumbuhan pada 2023 adalah suram, terutamanya di Eropah dan AS.
Terdapat ketidakpastian berdasarkan pelbagai cabaran termasuk ketegangan geopolitik, Luhut bersetuju, bagaimanapun sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini, Indonesia akan mengambil langkah yang diperlukan untuk memastikan rantau itu kekal stabil dan terus berkembang.
"Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia, kami menunjukkan prestasi yang baik kali ini," katanya pada sesi bertajuk "The Pulling Power of Asean."
Apabila moderator sesi itu, Editor Bersekutu dan Ketua Pengulas Hal Ehwal Luar Financial Times Gideon Rachman berkata: "Tetapi anda ada peperangan berdekatan", Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Thailand Anutin Charnvirakul segera membetulkan kenyataan tersebut, menyatakan ia adalah isu dalaman.
"Kami tidak berperang antara satu sama lain. Kami hanya bersaing dalam perdagangan.
"Kami tidak mempunyai sebarang perbezaan dalam politik atau campur tangan antara satu sama lain," kata Anutin.
Kedua-dua menteri Indonesia dan Thailand itu juga mempunyai pendapat yang sama mengenai Myanmar dan menyatakan ASEAN akan terus mengadakan libat urus dengan Myanmar selain mengekalkan dasar tidak campur tangan dalam isu domestik.
Tengku Zafrul berkata forum itu memberi peluang kepada negara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand untuk berkongsi perspektif daripada negara-negara membangun dalam pelbagai isu termasuk Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
"Kita perlu memastikan bahawa kita dapat menjelaskan kepada mereka berikutan secara global, setiap negara berada pada tahap pertumbuhan yang berbeza, tahap pembangunan yang berbeza. Oleh itu, kita tidak boleh menggunakan standard yang sama, dasar yang sama untuk mencapai apa yang semua pihak mahu capai," katanya.
Negara-negara besar juga perlu mengambil kira keperluan negara-negara kecil untuk memastikan peralihan yang lebih adil, kata Tengku Zafrul.
"Pandangan ini turut dikongsi oleh negara jiran kita, Indonesia, dalam pertemuan saya dengan Pak Luhut Binsar Pandjaitan dan Menteri Investasi Indonesia Pak Bahlil Lahadalia.
"Insya-Allah, negara-negara ASEAN akan terus memastikan kepentingan rantau kita sentiasa terpelihara," katanya.
Bagi Malaysia khususnya, katanya kehadiran "Malaysia House" adalah permulaan yang baik.
"Kita perlu berada di setiap platform global lain untuk memahami hala tuju dunia serta trend dan cabaran baharu.
"Kita perlu peka mengenai apa yang berlaku di peringkat global. Kita tidak boleh hanya duduk sahaja dan memberi tumpuan kepada perkara yang kita fikir terbaik untuk kita tanpa memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan di peringkat global," katanya.
Selain rakan sejawatannya di ASEAN, Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Perdagangan Korea Selatan Dukgeun Ahn serta Menteri Perdagangan dan Pertumbuhan Eksport New Zealand Damien O'Connor di sini.
Mesyuarat tahunan WEF ke-53 itu menghimpunkan 2,700 pemimpin dari 130 negara termasuk 52 ketua negara.
Tema WEF pada tahun ini ialah 'Fragmented World: Addressing Pressing Crises, Tackling Future Challenges' (Dunia Bergolak: Tangani Krisis, Tangani Cabaran Masa Depan) dalam persekitaran pelbagai krisis yang semakin teruk dan landskap geopolitik yang berpecah.
-- BERNAMA