WEF: Piawaian ekonomi mampan harus adil, saksama kepada negara membangun - Tengku Zafrul
Najib Aroff
April 28, 2024 17:22 MYT
April 28, 2024 17:22 MYT
RIYADH: Transisi ke arah ekonomi yang mampan harus dilaksanakna secara saksama dan adil, kata Menteri Perdagangam Pelaburan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Tengku Zafrul berkata perbezaan latar ekonomi antara negara maju dan membangun menyebabkan wujudnya kesukaran negara membangun mencapai aspirasi kemampanan yang digariskan.
“Kita perlu berhati-hati apabila kita bercakap soal membina daya tahan ekonomi mampan kerana dalam melaksanakan langkah itu, adakalanya ia mewujudkan kesan halangan kepada perdagangan.
“Jika itu terus berlaku, ia akan memberikan kesan kepada kualiti pertumbuhan yang kita mahukan. Ini kerana kita akan saksikan banyak negara membangun berdepan kesukaran untuk memenuhi piawaian ekonomi mampan yang ditetapkan.
“Transisi kepada memenuhi piawaian ini perlu dilaksanakan secara saksama,” katanya ketika menjadi salah seorang panelis di Mesyuarat Khas World Economic Forum (WEF) di Riyadh bertajuk “What kind of growth do we need?”.
Beliau pada masa sama menekankan kepentingan pemulihan ekonomi digerakan secara blok seperti yang dilakukan oleh ASEAN.
“ASEAN bersifat neutral telah menarik minat institusi dan syarikat untuk melabur. Kita mahu perkukuhkan kedudukan ASEAN dan kerjasama dengan China selaku rakan dagang utama,” katanya.
Sementara itu Pengarah Urusan, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva berkata negara dunia perlu memberikan tiga tumpuan besar iaitu mengurus inflasi ke paras memuaskan, membina semula daya tahan fiskal serta mengukuhkan lagi kerjasama dalam dunia yang berpecah.
“Perpecahan dalam blok kerjasama negara-negara, juga di kalangan negara-negara semakin mendalam.
“Pemulihan ekonomi di Amerika Syarikat lebih ke hadapan berbanding zon Eropah begitu juga di negara maju. Malaysia antara negara dengan pertumbuhan sihat.
“Namun jurang pemulihan ini akan menyebabkan negara miskin akan terus terpinggir,” katanya sambil menambah aspek pengurusan fiskal akan menentukan daya tahan masa hadapan sesebuah negara.