WEF 2023: Kenakan cukai lebih tinggi, telus kepada golongan kaya - Aktivis anti-WEF
Harits Asyraf Hasnan
Januari 15, 2023 06:17 MYT
Januari 15, 2023 06:17 MYT
DAVOS: Aktivis iklim dan kumpulan anti-WEF serta jutawan mengadakan demonstrasi seiring penganjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023, di sini.
Mereka menggesa supaya cukai yang lebih tinggi dikenakan terhadap golongan kaya yang mendominasi jumlah delegasi yang hadir pada forum tahun itu.
Puluhan mereka membawa pelekat dan melaungkan slogan sejurus tiba di pusat peranginan ski terkemuka dunia itu di mana ia turut menjadi destinasi pemimpin politik dan ekonomi utama dunia bertemu bermula Isnin.
Memetik laporan Reuters, terdapat segelintir aktivis termasuk anggota Patriotic Millionaires UK, Phil White menggesa cukai yang lebih tinggi kepada golongan kaya.
"Saya hadir di sini untuk menyertai protes ini kerana kami menyokong cukai kekayaan. Kami mahu mengurangkan tahap ketidakadilan kekayaan di dunia ini yang telah mengakis masyarakat," katanya.
Dalam masa sama, ada dalam kalangan penunjuk perasaan membidas peserta WEF dalam menangani isu iklim.
Kegagalan untuk menangani perubahan iklim dan degradasi alam sekitar menjadi antara kebimbangan utama dalam sedekad akan datang, memetik Laporan Risiko Global 2023 yang dikeluarkan WEF.
Dalam masa sama, cabaran ketika ini termasuk peningkatan kos sara hidup, krisis tenaga dan bekalan makanan serta peningkatan hutang antara cabaran yang memerlukan kerjasama menyeluruh setiap masyarakat.