WEF 2022: Singapura fokus masa depan pengurusan air
Najib Aroff
Mei 24, 2022 07:00 MYT
Mei 24, 2022 07:00 MYT
DAVOS: Menteri Kanan Singapura, Tharman Shanmugaratnam memberi fokus kepada masa depan pengurusan air Kota Singa itu ketika menyertai Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 di Davos, Switzerland.
Tharman bakal muncul dalam dua sesi penting, dialog dan sidang media khas yang memberi tumpuan khusus terhadap isu air.
Pada sesi pertama 8.45 pagi waktu tempatan, beliau bersama Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte serta tiga panel lain akan berdialog di bawah topik “A Fresh Water Future”.
Antara lain, dialog berkenaan bakal mengupas bagaimana gangguan sistem bekalan air terutamanya dalam mendepani musim kemarau, cuaca panas melampau dan banjir.
Umum tahu, kebergantungan Singapura terhadap Malaysia berkaitan bekalan air merupakan antara elemen penting dalam hubungan strategik dua hala antara kedua-dua negara.
Sesi dialog ini juga bakal menyaksikan pelbagai idea berani diutarakan oleh ahli-ahli panel sebagai ‘buah mula’ sebelum berlangsungnya Persidangan Air Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Mac 2023 di New York.
Selepas sesi dialog tersebut, Tharman bakal muncul dalam satu sidang media khas bersama “The New Economics of Water – Launch of Global Commission” pada jam 5.30 petang waktu tempatan.
Melalui sidang media khas itu, beliau serta beberapa ahli panel lain bakal melancarkan inisiatif dua tahun berkait Economic of Waters.
Laporan dan pelan tindakan itu akan membentuk perbincangan tentang nilai serta cara terbaik pengurusan air abad ke 21.
Astro AWANI bakal membawakan perincian sesi dialog serta sidang media tersebut di semua platform media sosial Astro AWANI.