WEF 2022: Jangan lupakan krisis Palestin di sebalik tumpuan kepada Ukraine - Emir Qatar

Rahimah Abdullah
Mei 23, 2022 23:00 MYT
Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani menggunakan pentas World Economic Forum (WEF) untuk menuntut keadilan buat penduduk Palestin yang ditindak rejim Israel. - Gambar/ Astro AWANI
EMIR Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani menggunakan pentas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, untuk menuntut keadilan buat penduduk Palestin yang ditindas rejim Israel.
Beliau mengingatkan penduduk dunia agar tidak mengetepikan krisis kemanusiaan dihadapi penduduk Palestin di sebalik tumpuan terhadap perang di Ukraine.
"Ketika kita memberi fokus kepada usaha mencari jalan diplomatik terhadap krisis di Ukraine, saya berharap kita juga secara adilnya memberi perhatian dan usaha yang sama dalam menyelesaikan semua konflik yang dilupakan dan tidak dihiraukan," katanya semasa menyampaikan ucaptama di WEF pada Isnin.
Tegasnya, semua orang berhak untuk mendapat keamanan, keselamatan dan maruah tanpa mengira latar belakang.
"Mereka juga berhak untuk mendapat keamanan, keselamatan dan maruah. Contoh terbaik ialah Palestin yang tidak diendahkan sejak penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lagi.
"Keluarga mereka ditindas selama beberapa dekad. Peningkatan dan pencerobohan penempatan haram tidak henti-henti dan begitu juga dengan serangan berterusan terhadap rakyat Palestin," ujarnya lagi.
Malah, katanya, kematian wartawan Palestin- Amerika, Shereen Abu Aqleh menunjukkan keganasan tidak boleh ditoleransi pada abad ke-21.
Ketika ini katanya kira-kira 18 wartawan terbunuh di Palestin sejak tahun 2000.
Malah, katanya ramai wartawan yang terbunuh semasa bertugas di Syria, Iraq dan Yemen.
"Kita tidak boleh menerima kerajaan yang berat sebelah terhadap penduduk yang mengutamakan agama, rantau, dan kaum," katanya.
Justeru katanya, Qatar akan terus membantu menyelesaikan konflik kemanusiaan termasuk di Afghanistan.
"Kami berbesar hati untuk membantu usaha pemindahan di Afghanistan. Terima kasih kepada mereka yang terlibat membantu kami dalam misi ini," ujar beliau.
#Amir Qatar #Sheikh Tamim Hamad Al Thani #WEF #Palestin
;