WEF 2022: Indeks Daya Saing Pelancongan, Pengembaraan, Malaysia jatuh 9 anak tangga
Najib Aroff
Mei 24, 2022 17:59 MYT
Mei 24, 2022 17:59 MYT
DAVOS: Malaysia menduduki tangga ke-38 bagi Indeks Daya Saing Pelancongan dan Pengambaraan yang dijalankan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Negara menerima skor 4.3, penurunan sembilan anak tangga berbanding kedudukan ke-29 pada 2019 dengan perbandingan 8.4 peratus berbanding purata global.
Malaysia juga ketinggalan berbanding negara jiran Thailand pada kedudukan ke-36 dengan skor sama dan Indonesia di tempat ke-32.
Kedua-dua negara jiran itu berada di belakang Malaysia pada 2019 dalam skor dan perbandingan peratusan berbanding purata global.
Kaji selidik itu melibatkan 140 ekonomi yang melihat beberapa faktor dan dasar yang membolehkan pembangunan mampan sektor pelancongan dan pengembaraan serta menyumbang kepada tahap daya saing dan pembangunan sesebuah negara.
Lima tunggak digariskan dalam kajian ini melibatkan alam sekitar yang memangkin, keadaan memangkin serta dasar pelancongan dan pengembaraan.
Dua tunggak lain ialah infrastruktur, pemacu permintaan pelancongan dan pengembaraan serta kemampanan pelancongan dan pengembaraan.
Bagi keseluruhan kajian itu, ia menunjukkan pemulihan pasca pandemik COVID-19 dengan Jepun, Amerika Syarikat, Sepanyol, Perancis dan Jerman menduduki tangga teratas.
“Penutupan sempadan akibat COVID-19 memberikan penekanan khusus betapa pentingnya sumbangan sektor pelancongan dan pengembaraan untuk semua ekonomi seluruh dunia.
“Memandangkan dunia sedang keluar daripada pandemik, ekonomi terlibat perlu melabur dalam membangunkan persekitaran yang kukuh dan berdaya tahan untuk menyediakan pengalaman pelancongan dan pengembaraan serta perkhidmatan terbaik untuk dekad mendatang,” kata Ketua Pelancongan, Pengembaraan dan Penerbangan di WEF, Lauren Uppink.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.
Meskipun keseluruhan industri perniagaan dan pelancongan antarabangsa masih di bawah paras pra pandemik, namun pemulihan sektor itu berjaya dipacu kadar vaksinasi yang tinggi, kebenaran rentas sempadan dan pertumbuhan permintaan pelancongan domestik dan berasaskan alam sekitar.
Selain itu banyak perniagaan dan destinasi pelancongan kini sudah mula mengadaptasi perubahan permintaan yang dinamik ini.
Menurut Organisasi Pelancongan Dunia di bawah Persatuan Bangsa Bersatu (UNWTO), perbezaan ketibaan pelancong antarabangsa antara Januari 2021 dan Januari 2022 adalah jauh lebih besar berbanding pertumbuhan ketibaan keseluruhan pada 2021.
Namun, kajian berkenaan turut mengariskan beberapa cabaran yang masih dihadapi sektor berkenaan dalam era pemulihan termasuk agihan vaksin tidak sekata, kekangan kapasiti, kekurangan tenaga kerja dan gangguan rantaian bekalan.
“Kerajaan, perniagaan dan pemimpin masyarakat sivil boleh menyelesaikan halangan pemulihan ini dengan melihat kepada perbezaan faktor yang mampu menyokong pembanguna jangka panjang serta daya tahan dalam sektor pelancingan dan pengembaraan.
“Langkah ini memerlukan pembuat dasar untuk mengembalikan keyakinan pengguna dan keterbukaan antarabangsa dengan mengutamakan langkah keselamatan dan penjagaan kesihatan yang maju, mengalakkan amalan buruh inklusif, menambahbaik kelestarian alam sekitar dan melabur dana teknologi digital,” jelas Uppink.