WEF 2022 Davos: 'Beri penekanan terhadap usaha pemulihan global'
Nickyson Nyambar
Mei 18, 2022 05:30 MYT
Mei 18, 2022 05:30 MYT
KUALA LUMPUR : Penekanan terhadap 'global recovery' atau pemulihan global menjadi tumpuan utama dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos yang dijadualkan berlangsung pada 22 Mei depan.
Pengerusi Eksekutif WEF, Profesor Klaus Schwab, pertemuan secara bersemuka itu akan membolehkan pemimpin dari pelbagai negara duduk semeja dan berbincang mengenai isu yang kritikal terhadap peradapan manusia dan dunia.
"Soalannya di Davos ini, bagaimana kita ingin membangunkan masyarakat, individu, negara, daya tahan global untuk lebih bersedia di masa hadapan, bukan hanya untuk berdepan virus COVID-19, tetapi juga sistem sokongan kita.
"Telah terbukti juga, perlindungan alam sekitar dan iklim turut diambil kira dalam forum ini nanti. Kita semua tahu bahawa manusia hanya tinggal beberapa tahun untuk mengubah haluan.
"Jadi peluang adalah terhad. Justeru Davos 2022 ini terus akan menjadi persidangan buat iklim dunia. Davos akan membawa bersama pelbagai sektor berkaitan dan akan memacu segala tindakan dari pelbagai cara.
"Ini termasuk melibatkan beberapa gabungan berkaitan seperti Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) COP26, projek satu trilion pokok dan pelbagai lagi.
"Ini termasuk memupuk transformasi tenaga dan Davos akan menjadi tempat untuk pelbagai perbincangan," katanya dalam taklimat media bagi mesyuarat tahunan WEF 2022 pada Rabu.
Jelasnya, penduduk dunia telah menyaksikan implikasi akibat daripada pandemik COVID-19 yang berlaku sejak dua tahun yang lalu.
Virus ini mencambah krisis kemanusiaan yang dihadapi dan dirasai segenap lapisan masyarakat termasuk perubahan polisi, sistem serta keselamatan antarabangsa.
Inflasi katanya turut semakin membarah yang sekali gus memberi implikasi kepada loss of purchasing power' atau kehilangan kuasa beli di serata dunia.
Namun tidak hanya terhenti di situ, dunia turut menerima kesan daripada peperangan yang berlaku dalam abad ke-21 ini melibatkan Rusia dan Ukraine yang menjadi ancaman terbesar dalam keselamatan antarabangsa.
"Pertama sekali, perang di Ukraine. Keganasan Rusia terhadap Rusia akan dicatatkan dalam buku sejarah di masa akan datang selepas Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin. Ini sebabnya kita bercakap mengenai titik perubahan dalam sejarah. Di Davos, solidariti kami adalah yang paling utama buat rakyat yang menderita kekejaman perang ini," katanya.
Cabaran-cabaran ini katanya tidak boleh hanya diselesaikan kerajaan, sektor korporat dan masyarakat awam sahaja, malah memerlukan penglibatan setiap organisasi antarabangsa serta sektor awam yang dapat memacu ekonomi baru dengan mentransformasi sektor sedia ada melalui teknologi canggih masa kini.
Oleh yang demikian, WEF 2022 Davos ini akan mengumpul ilmuan, cendekiawan, pakar-pakar serta pemimpin untuk dibincangkan dalam mencari titik tengah kepada krisis-krisis yang semakin berlarutan ini.
Sesi taklimat media bagi mesyuarat tahunan WEF 2022 pada Rabu ini turut disertai Presiden WEF, Borge Brende, Pengarah Pengurusan WEF, Saadia Zahidi dan Gim Huay Neo.