Wawancara Oprah: Markle dedah Kate Middleton buat air matanya tumpah sebelum majlis perkahwinan
Agensi
Mac 8, 2021 13:21 MYT
Mac 8, 2021 13:21 MYT
NEW YORK: Isteri kepada Putera Harry dari kerabat diraja Britain, Meghan Markle membuat pengakuan mengejutkan apabila mendedahkan isteri Putera William, Kate Middleton membuatnya menangis beberapa hari sebelum majlis perkahwinan pasangan diraja itu pada 2018.
Bercakap pada wawancara bersama Oprah Winfrey semalam, Meghan menyifatkan detik itu sebagai titik perubahan dalam perhubungan kedua-dua mereka.
"Beberapa hari sebelum majlis perkahwinan, Kate meluahkan perasaan seolah-olah tidak puas hati dengan pakaian flower girls (pengiring), sehingga membuatkan saya menangis. Perkara itu benar-benar menyinggung perasaan saya," katanya.
Reuters melaporkan, Meghan menjelaskan dia naif (kurang pengalaman) dan tidak membayangkan dia akhirnya akan ditakdirkan berkahwin dengan kerabat diraja.
"Saya benar-benar naif, saya dibesarkan dalam suasana yang tidak begitu mengenali mengenai golongan diraja," jelas Meghan.
Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Suit itu bagaimanapun memaklumkan dia tidak menerima bayaran untuk temu ramah bersama Oprah.
#Duchess of Sussex
#Meghan Markle
#Kate Middleton
#Putera William
#Oprah Winfrey
#Reuters
#Istana Buckingham
#Ratu Elizabeth