Wawancara Oprah: Diskriminasi terlampau, Meghan pernah terfikir untuk bunuh diri
Agensi
Mac 8, 2021 19:38 MYT
Mac 8, 2021 19:38 MYT
NEW YORK: Isteri Putera Harry dari kerabat diraja Britain, Meghan Markle mendedahkan beliau pernah berniat untuk membunuh diri ekoran tidak sanggup lagi berdepan diskriminasi dan sifat perkauman terlampau dalam sistem monarki keluarga diraja Britain.
Bercakap pada wawancara bersama Oprah Winfrey yang disiarkan menerusi saluran CBS pada Ahad, Meghan memberitahu, hak anak lelakinya, Archie sebagai putera bagi kerabat diraja itu turut dinafikan hanya kerana dikandung oleh seorang wanita yang mempunyai darah campuran keluarga kulit hitam.
"Lebih menyedihkan apabila mereka menimbulkan kebimbangan mengenai warna kulit Archie sebelum dilahirkan," katanya seperti yang dipetik dalam laporan Reuters.
Ketika ditanya sama ada beliau pernah terfikir untuk menamatkan hidupnya, Meghan memberitahu, pada satu tahap, dia pernah membuat keputusan untuk membunuh diri.
"Saya tidak mahu hidup lagi dan ia adalah pemikiran berterusan yang sangat jelas dan menakutkan," ujarnya.
Pendedahan Meghan yang disifatkan sebagai luar biasa dalam keluarga diraja dilihat sekali lagi mengugat institusi itu.
Ketika Meghan berdepan dengan masalah kesihatan mental, dakwanya, usaha untuk mendapat bantuan juga dinafikan oleh keluarga diraja itu.
Putera Harry pada Januari tahun lalu meninggalkan United Kingdom (UK) untuk bersama Meghan dan anak mereka, Archie di Kanada, selaras keputusan pasangan itu untuk memulakan kehidupan baharu selepas keputusan mengejut berundur dari keluarga diraja Britain.
Selepas membuat keputusan berpindah ke Amerika Utara, bekas pelakon televisyen itu mula digambarkan akhbar Britain sebagai keras kepala, licik dan pasangan yang terburu-buru serta mementingkan diri apabila membuat keputusan meninggalkan dari kehidupan diraja.
Harry, 37, merupakan cucu kepada pemerintah Britain iaitu Ratu Elizabeth II manakala Meghan ialah seorang bekas pelakon televisyen.
Keputusan penghijrahan itu kata Harry diambil kerana khuatir 'sejarah berulang', merujuk kepada insiden kematian ibunya, Puteri Diana yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya bersama Dodi Al-Fayed yang juga anak kepada jutawan kelahiran Mesir, Mohamed Al-Fayed pada tahun 1997 di Paris.
"Saya benar-benar kecewa (merujuk kepada Putera Charles). Keluarga saya sekat sumber kewangan," katanya.
Harry memberitahu, sebelum membuat keputusan untuk meninggalkan Istana Buckingham, beliau ada mengadakan tiga perbincangan dengan neneknya, Ratu Elizabeth dan dua perbincangan dengan Putera Charles, sebelum ayahnya memintanya "Boleh kamu tulis semua ini?"
Untuk rekod Meghan adalah berketurunan Afrika-Amerika.
#bunuh diri
#Oprah Winfrey
#Ratu Elizabeth
#Meghan Markle
#Putera Harry
#Kerabat diraja Britain
#Archie