Wasiat pendakwah ternama Indonesia sebelum meninggal dunia
Saharudin Musthafa
Mei 23, 2019 10:22 MYT
Mei 23, 2019 10:22 MYT
PEMERGIAN pendakwah ternama Indonesia, Kiyai Haji Muhammad Arifin Ilham ke rahmahtullah menjadi antara berita yang cukup besar di negara jiran itu.
Ini kerana tokoh agamawan yang mesra disapa Ustaz Arifin lham itu merupakan antara pendakwah yang disegani segenap umat Islam di rantau ini.
Ketika hayatnya, Ustaz Arifin Ilham diiktiraf sebagai pendakwah yang mempunyai aura yang tersendiri.
Suara dan mesej dakwahnya mudah menjentik emosi setiap yang mendengarnya.
Allahyarham juga seorang guru yang tidak pernah berhenti daripada mengingatkan umat Islam jangan sesekali berhenti berzikir menyebut nama Allah.
Ustaz Arifin Ilham mempunyai jutaan pengikut di negara kelahirannya dan kerana itu tidak hairanlah kenapa pemergiannya diratapi.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir pada usia 49 tahun di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang malam Rabu, difahamkan Allahyarham telah menulis wasiat yang pengisiannya berkait rapat dengan kematiannya.
Allahyarham ketika hayatnya menulis meminta agar jenazahnya disolatkan di dua buah masjid yang berbeza di Bogor, Jawa Barat sebelum dikebumikan di Gunung Sindur, Bogor.
“Allahyarham menyampaikan amanat agar jenazah beliau disolatkan di Masjid Az-Zikra Sentul dan Masjid Az-Zikra Gunung Sindur,”kata Ketua Yayazan Az-Zikra, Khotib Kholil seperti dilaporkan media tempatan.
Pemergian Ustaz Arifin Ilham ke rahmahtullah turut mendapat perhatian calon Naib Presiden nombor 2, Sandiaga Uno yang mengagumi semangat Allahyarham melawan penderitaan penyakitnya.
Menurut Sandiaga, ketika menziarahi Allahyarham Ustaz Arifin di hospital pada 8 Januari lalu, beliau melihat sosok seorang agamawan yang sentiasa positif dalam menghadapi uiian.
“Takjub melihat kuatnya beliau menghadapi yang dideritainya. Kini Allah telah memanggilnya, semoga beliau mendapatkan tempat yang terbaik di sisi Allah Subhanahu Wa Taála,” tulis Sandiaga dalam entri di Instagram peribadinya.
Allahyarham Ustaz Arifin meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan bagi kanser limfoma.
Turut terkesan dengan berita sedih itu ialah rakan seperjuangan Allahyarham Ustaz Arifin iaitu pendakwah Aa Gym.
Aa Gym menitipkan salam perpisahan buat guru dan sahabatnya yang kembali ke rahmatullah.
Dalam catatan di Twitternya, Aa Gym mendoakan semoga Allahyarham Ustaz Arifin berbahagia bertemu Allah yang amat dicintai dan dirindukannya.
“Selamat jalan wahai mujahid,” tulis Aa Gym lagi.
Aktor veteran dan ahli politik, Rano Karno tidak ketinggalan mendoakan ulama hebat Indonesia itu
“Selamat jalan kekasih Allah. Doa kami selalu mendampingimu. Al-Fatihah,”kata Rano dalam entri di Instagramnya
Pendakwah terkenal tanah air, Imam Muda Asyraf tidak ketinggalan berkongsi berita sedih itu di laman Instagramnya.
Imam Muda Asyraf mendoakan semoga Allah menempatkan Allahyarham ustaz Arifin Ilham bersama para solihin serta dikurniakan kebahagiaan di syurga buat selama-lamanya.
Beliau turut berkongsi video solat jenazah Ustaz Arifin Ilham yang diadakan di Masjid Kelawei Pulau Pinang.
Jenazah Allahyarham Ustaz Arifin Ilham diterbangkan dari Pulau Pinang ke Jakarta pada pukul 10 pagi tadi.
#Indonesia
#kanser limfoma
#Pendakwah ternama Indonesia sebelum meninggal dunia
#Ustaz Arifin Ilham
#wasiat