Washington dakwa dron 'Reaper' terhempas dipintas jet pejuang Rusia

Astro Awani
Mac 15, 2023 08:20 MYT
Sebuah dron MQ-9 Reaper ketika disimpan di hangar Pangkalan Udara Amari di Estonia. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Sebuah dron pengawasan MQ-9 Reaper milik tentera Amerika Syarikat (AS) terhempas ke Laut Hitam selepas dipintas oleh jet pejuang Rusia.
Ia insiden pertama seumpamanya sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine lebih setahun lalu.
Pentagon berkata, salah satu daripada jet SU-27 Rusia telah melanggar kipas dron itu, lalu menyebabkannya terhempas.
Komander Tertinggi Bersekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Eropah, Jeneral Christopher Cavoli, memberi taklimat kepada sekutu pertubuhan itu mengenai insiden berkenaan.
Antara lain, insiden dikecam keras White House dan Pentagon yang menyifatkan ia satu tindakan provokasi.
White House turut memberi amaran padah buruk bakal menanti Rusia susulan tindakan tersebut.
Dalam hal ini, Setiausaha Negara AS, Ned Price berkata, ia sudah memanggil memanggil duta Rusia ke Washington untuk memberikan penjelasan berhubung insiden tersebut.
Washington mendakwa, dua jet SU-27 Rusia melakukan apa yang disifatkan oleh tentera sebagai memintas dron penghendap AS sebelum bertembung dengan dron itu pada 7.03 pagi waktu tempatan.
AS turut mendakwa sebelum berlaku perlanggaran, jet pejuang Rusia menyerang dron tersebut beberapa kali dengan cubaan untuk menjatuhkannya.
Ia turut didakwa terbang di sekeliling dron tanpa pemandu itu dengan gerakan tidak selamat.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Rusia menafikan wujud sebarang serangan ke atas dron MQ-9 sebagaimana didakwa.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Rusia berkata, kapal pejuangnya tidak mempunyai senjata serta tidak bersentuhan dengan dron milik AS itu.
Walaupun AS tidak melayari kapal perang di Laut Hitam, ia secara rutin menerbangkan pesawat pengawasan di dalam dan sekitar kawasan itu.
#dron #MQ-9 Reaper #Laut Hitam #jet pejuang
;