Wartawan AS yang ditahan telah kembali ke pangkuan keluarga
Astro Awani
Ogos 28, 2014 12:49 MYT
Ogos 28, 2014 12:49 MYT
Wartawan yang ditahan selama 22 bulan oleh militan di Syria kembali ke Amerika Syarikat, dua hari selepas Qatar merundingi pembebasannya.
Peter Theo Curtis, 45 tahun ditemukan semula dengan ibunya Nancy Curtis di Lapangan Terbang Antarabangsa Boston Logan selepas terbang dari Tel Aviv ke Newark, New Jersey.
Keluarga Curtis memaklumkan bahawa kerajaan Qatar berkali-kali menegaskan pembebasan itu tidak diperoleh dengan bayaran wang tunai.
Washington berpegang teguh pada pendirian tidak membayar wang tebusan atas alasan tindakan itu hanya membahayakan rakyatnya di seluruh dunia.
Wartawan bebas dan penulis itu dibebaskan Ahad lalu, kurang seminggu selepas video ngeri menunjukkan pembunuhan seorang tebusan Amerika Syarikat, wartawan James Foley.
Curtis ditawan sejurus sebelum masuk ke Syria pada Oktober 2012 dan ditahan oleh kumpulan serpihan Al-Qaeda.