Wartawan veteran Filipina ditembak mati, kumpulan media tuntut perlindungan

Agensi
Oktober 4, 2022 19:40 MYT
Mabasa juga memiliki saluran YouTube dengan 216,000 pengikut dilaporkan pernah mengkritik dasar pentadbiran bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte sebelum ini. - REUTERS
MANILA: Kes tembak yang menyebabkan kematian seorang wartawan radio Filipina, Percival Mabasa memberi tamparan hebat terhadap tahap kebebasan akhbar di negara itu.
Wartawan berpengalaman berusia 63 tahun itu ditembak mati pada Selasa ketika memandu di ibu negara itu dan insiden mendapat reaksi kemarahan luar biasa dari pengamal media serta aktivis negara itu.
Memetik laporan antarabangsa, Percival Mabasa ditembak dua penyerang di pintu pagar kawasan kediamannya di kawasan Las Pinas, malam tadi.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Filipina menganggap tindakan pelaku sebagai sesuatu yang menyinggung dan meluahkan kekecewaan terhadap pihak berkuasa kerana gagal melindungi kumpulan wartawan dari bahaya.
Sementara itu, pihak polis tekad untuk membawa kes ini ke muka pengadilan dan sehingga kini kerajaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Difahamkan, Mabasa juga memiliki saluran YouTube dengan 216,000 pengikut dilaporkan pernah mengkritik dasar pentadbiran bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte sebelum ini.
Bulan lalu, wartawan radio yang dikenali sebagai Rey Blanco turut maut selepas ditikam di tengah Filipina.
Untuk rekod, media di Filipina adalah antara paling liberal di Asia namun negara itu kekal sebagai lokasi paling bahaya bagi dunia kewartawanan terutama di ibu negara, Manila.
Badan Pemerhati Antarabangsa Reporters Without Borders melaporkan sekurang-kurangnya 187 pengamal media di Filipina terbunuh dalam tempoh 35 tahun yang menyaksikan kejadian terburuk pada 2009 dengan mencatatkan 32 kematian. -- Agensi
#Rodrigo Duterte #Filipina #Kes Tembak #Percival Mabasa
;