Wartawan veteran Filipina ditahan polis kali kedua kerana kritik Presiden Duterte
Agensi
Mac 29, 2019 10:49 MYT
Mac 29, 2019 10:49 MYT
WARTAWAN kanan Filipina yang juga Ketua Pegawai Eksekutif portal berita, Rappler, Maria Ressa ditangkap kali kedua oleh pihak berkuasa negara itu.
Penangkapan Ressa seperti dilaporkan agensi berita antarabangsa, AFP dan Reuters merupakan tindakan balas dendam selepas beliau mengkritik Presiden Rodrigo Duterte.
Pernah dinobatkan sebagai Person of the Year tahun 2018 oleh majalah TIME, Ressa ditangkap polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada Jumaat sejurus tiba dari luar negara.
"Mereka menangkapnya di lapangan terbang. Kami akan segera memohon jaminan bagi membebaskannya," kata pengasas bersama Rappler, Beth Frondoso kepada AFP.
Dalam reaksi segera kepada wartawan tempatan, Ressa mendakwa, dia diperlakukan seperti seorang penjenayah ketika ditangkap polis.
"Saya diperlakukan seperti seorang pesalah jenayah hanya kerana 'kejahatan' yang saya lakukan ialah dengan menjadi wartawan bebas," kata Ressa ketika dibawa oleh tiga anggota polis.
Sementara itu, Reuters melaporkan, penangkapan Ressa ada kaitan dengan dakwaan melanggar undang-undang berhubung pemilikan asing agensi media di Filipina.
Ini bertentangan dengan Perlembagaan Filipina yang melarang pihak asing memiliki kepentingan dalam media yang beroperasi di negara berkenaan.
Portal berita Rappler sebelum ini mengesahkan portal berkenaan mendapat bantuan dana daripada pihak luar tetapi tiada campur tangan dalam operasi.
Pada Februari lalu, Ressa ditangkap atas dakwaan melakukan fitnah siber dan dipenjarakan selama sehari sebelum dibebaskan selepas mendapat jaminan.
Tindakan undang-undang yang diambil pihak berkuasa Filipina ke atas Ressa dan Rappler menerima kecaman dan kritikan antarabangsa.
Penangkapan itu disifatkan langkah untuk menyekat kebebasan dan keterbukaan media di Filipina.
Mengheret Ressa ke muka pengadilan juga dianggap sebagai sasaran pihak berkuasa kerana wartawan berusia 55 tahun itu dilihat sangat kritis terhadap Presiden Duterte dan dasar-dasar pemerintahannya.