Wartawan tertonyoh mikrofon ke muka Trump terima jelingan 'tajam'
Sinar Harian
Mac 17, 2025 11:00 MYT
Mac 17, 2025 11:00 MYT
Mikrofon yang dipegang seorang wartawan wanita dilihat terkena pada muka Trump semasa sesi temu bual di Joint Base Andrews. - Foto Sinar Harian/Agensi
ANNAPOLIS: Seorang wartawan wanita menerima jelingan 'tajam' Donald Trump selepas mikrofon yang dipegangnya terkena wajah Presiden Amerika Syarikat itu ketika sesi sidang akhbar di Maryland.
Video kejadian yang berlaku di pusat kemudahan tentera Joint Base Andrews itu menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi warga maya.
Rakaman itu memaparkan Trump ditemu bual oleh beberapa wartawan mengenai tebusan Hamas di Semenanjung Gaza.
Beberapa saat kemudian, sebuah mikrofon berbulu mengenai mulut Trump sebelum ditarik semula untuk mengelakkan sentuhan berikutnya.
Trump kemudian menjeling ke arah wartawan tersebut dan mengangkat kedua-dua keningnya.
“Dia (wartawan) akan menjadi berita besar malam ini. Adakah anda nampak?” tanya Trump kepada wartawan lain sambil tersenyum sinis.
Beliau kemudiannya menjawab beberapa lagi soalan sebelum menaiki pesawat Air Force One. – Sinar Harian memetik agensi