Wartawan Reuters dibebaskan selepas diberi pengampunan presiden Myanmar
Agensi
Mei 7, 2019 11:39 MYT
Mei 7, 2019 11:39 MYT
DUA wartawan Reuters yang dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun atas dakwaan berkaitan Akta Rahsia Rasmi dibebaskan pada Selasa.
Wa Lone dan Kyaw Soe Oo dibebaskan selepas Presiden Win Myint mengampunkan 6,520 banduan.
Upacara mengampunkan ribuan banduan itu dilakukan dalam dua acara pengampunan secara besar-besaran tahun lalu.
Ia adalah sebahagian daripada budaya di Myanmar membebaskan banduan sempena sambutan tahun baharu tradisional yang bermula pada 17 April.
Terdahulu, kedua-dua wartawan ini disiasat atas penglibatan mereka ketika membuat liputan mengenai krisis kemanusiaan Rohingya.
Wartawan Wa Lone, 32 tahun, dan Kyaw Soe Oo, 28 tahun, telah ditahan pada Disember 2017.
Pendakwaan mereka dilihat sebagai satu ujian terhadap kemajuan menuju demokrasi di negara Asia Tenggara itu.