Wartawan mati ditembak ketika bersiaran langsung
Agensi
Ogos 26, 2015 00:54 MYT
Ogos 26, 2015 00:54 MYT
Seorang wartawan dan seorang jurukamera yang sedang bersiaran secara langsung terbunuh apabila mereka diserang dalam satu insiden tembakan di Roanoke, Virginia, Amerika Syarikat.
Ketika kejadian, mereka sedang bersiaran secara langsung dalam sebuah program pagi bersama seorang tetamu yang sedang ditemu bual.
Serangan yang mengorbankan wartawan Alison Parker, 24, dan jurukamera Adam Ward, 27, itu membuatkan rakan wartawan yang berada di studio berita dan penonton program itu terkejut.
Ketika temu bual itu berlangsung, tiba-tiba kedengaran lebih daripada enam das tembakan dilepaskan dan Parker dan tetamunya menjerit ketakutan.
Wajah Alison Parker (kiri) yang jelas terkejut selepas ditembak oleh suspek ketika membuat wawancara secara langsung - AFP PHOTO/WDBJ7/HANDOUT
Satu tangkapan imej dari video menunjukkan suspek mengacukan pistol kepada jurukamera sebelum penonton menyaksikan sudut rakaman kamera itu terjatuh ke tanah.
Pihak polis segera memburu suspek di keseluruhan kawasan tersebut sementara sekolah-sekolah di sekitar kawasan itu juga telah ditutup berikutan ancaman berkenaan.
Pengurus besar stesen WDBJ Channel 7 telah ke udara kemudiannya untuk mengesahkan kematian kedua-dua pekerjanya.
Tetamu yang sedang ditemu bual ketika insiden itu berlaku kini sedang menerima rawatan di hospital kerana terkena tembakan di bahagian belakang tubuhnya.
Sementara itu, kenalan dan teman sekerja Parker dan Ward menggunakan platform media sosial untuk menyatakan rasa sedih serta memberi penghormatan terakhir.
Suspek kejadian tersebut, Vester Lee Flanagan II, 42, dilaporkan sebagai bekas wartawan multimedia stesen televisyen yang sama dan mengenali kedua-dua mangsanya.
Lebih aneh, Flanagan juga membuat rakaman sendiri sewaktu melepaskan tembakan itu dan video versinya yang mengerikan itu telah dengan sengaja dimuat naik ke media sosial menggunakan nama 'Bryce Williams'.
Dalam perkembangan berkaitan, Flanagan dilaporkan telah menembak dirinya sendiri selepas berdepan dengan pihak berkuasa selepas kejadian itu.
Nasibnya masih belum diketahui meskipun ada laporan yang mengatakan dia berada dalam keadaan kritikal.
Vester Lee Flanagan II telah merakam insiden tembakan itu untuk kepuasan dirinya sebelum memuat naik video berkenaan di media sosial menggunakan nama Bryce Williams. - Foto AFP/WDBJ7-TV