Wartawan kelima dibunuh di Mexico tahun ini
Astro Awani
Februari 12, 2022 11:05 MYT
Februari 12, 2022 11:05 MYT
SEORANG wartawan mati ditembak di Mexico pada Khamis, sekali gus menjadi pembunuhan kelima melibatkan pengamal media pada tahun ini.
Heber López, yang mengendalikan portal berita RCP Noticias di negeri selatan Oaxaca, ditembak ketika berada di pejabatnya.
Menurut pihak pendakwa negeri, dua suspek diberkas ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian dan senjata mereka turut ditemui.
Bagaimanapun, tidak diketahui siapa yang mengarahkan pembunuhan itu dilakukan.
Saksi berkata, pada sekitar jam 6.30 petang, López yang berada di pejabatnya didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah kenderaan berwarna putih.
Seorang daripadanya keluar kereta dan masuk ke pejabat, lantas menembak López.
Pengarah portal, Rodolfo Canseco Gutiérrez berkata, bidang tugas López ialah liputan berita berkaitan jenayah dan polis.
Sejak sekian lama, negara Mexico sinonim dikaitkan dengan lokasi bahaya untuk wartawan membuat liputan.
Tahun lalu, sekurang-kurangnya tujuh wartawan dibunuh, menurut organisasi advokasi kebebasan media Reporters Without Borders (RSF).
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada ia berkaitan dengan tugas mereka atau sebaliknya.