Wartawan asing gesa diberi akses untuk memasuki Gaza

Agensi
Februari 29, 2024 08:00 MYT
Pengarang Antarabangsa BBC, Jeremy Bowen merupakan antara 55 wartawan yang menandatangani surat terbuka menyeru Israel dan Mesir untuk memberikan "akses bebas dan tanpa sekatan ke Gaza untuk semua media asing."
LEBIH 50 wartawan telah menghantar surat terbuka menyeru Israel dan Mesir untuk memberikan "akses bebas dan tanpa sekatan ke Gaza untuk semua media asing."
Surat itu ditandatangani oleh wartawan dan penyampai untuk penyiar yang berpangkalan di United Kingdom (UK) termasuk Jeremy Bowen dari BBC, Lyse Doucet dan Mishal Husain.
Antara kandungan dalam surat terbuka itu menyebut laporan yang komprehensif di lapangan adalah "penting" bagi pengamal media.
Israel berkata, tenteranya telah mengiringi perjalanan wartawan di Gaza untuk membolehkan mereka mengadakan liputan dengan selamat.
Sementara wartawan dan petugas media Palestin pula telah melaporkan dari dalam Gaza sejak permulaan perang antara Israel dan Hamas pada Oktober lalu.
Namun, dalam masa sama, puluhan pengamal media Palestin dilaporkan telah terbunuh, cedera atau hilang.
Dalam surat terbuka itu juga, 55 wartawan menulis bahawa "wartawan asing masih dinafikan akses ke wilayah itu kecuali di kawasan yang jarang dikunjungi dan diiringi dengan tentera Israel."
Perjalanan yang diiringi dikawal ketat dan selalunya hanya untuk menunjukkan terowong yang dikatakan tentera digunakan oleh Hamas atau kedai senjata.
Hanya seorang wartawan asing telah dibenarkan masuk ke Gaza melalui Mesir dalam lawatan diiringi.
Clarissa Ward dari CNN - yang turut menandatangani surat itu hanya berpeluang menghabiskan beberapa jam di lapangan di bandar sempadan selatan Rafah bersama pasukan perubatan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Disember.
Surat itu menyeru kerajaan Israel untuk "menyatakan secara terbuka kebenaran kepada wartawan antarabangsa untuk beroperasi di Gaza."
Ia juga meminta pihak berkuasa Mesir membenarkan akses akhbar asing ke persimpangan Rafah antara Mesir dan Gaza.
Turut disentuh dalam surat terbuka ialah ialah: "Adalah penting bahawa keselamatan wartawan tempatan dihormati dan usaha mereka disokong oleh kewartawanan anggota media antarabangsa. Keperluan untuk melaporkan konflik di lapangan secara menyeluruh adalah penting.
"Risiko laporan konflik difahami dengan baik oleh organisasi kami yang mempunyai pengalaman berdekad-dekad melaporkan di zon perang di seluruh dunia dan dalam peperangan sebelumnya di Gaza."
Stesen-stesen penyiar antarabangsa diwakili oleh BBC UK, ITV, Saluran 4 dan Sky News, dan cawangan AS ABC, CBS, CNN dan NBC.
Sebilangan wartawan yang menandatangani surat itu sebetulnya telah membuat laporan dari Israel semasa konflik itu.
Pada November lalu, Pengarang Antarabangsa BBC, Jeremy Bowen mengembara bersama tentera Israel ke Gaza.
Walaupun BBC mempunyai kawalan editorial terhadap laporan itu, namun, laporan yang berkaitan dengan Israel masih tetap mahu dilihat oleh mereka sebelum ia disiarkan.
Ketika diminta mengulas mengenai surat itu, seorang jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata:
"IDF kini sedang berperang dengan Hamas. Untuk membolehkan wartawan melaporkan dengan selamat, IDF menemani mereka ketika berada di medan perang."
Hampir 30,000 orang terbunuh di Gaza semasa perang antara Israel dan Hamas, kata kementerian kesihatan Hamas di wilayah itu.
Tentera Israel melancarkan kempen udara dan darat selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober yang menyebabkan 1,200 orang terbunuh dan 253 yang lain telah dijadikan tebusan.
Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), sekurang-kurangnya 83 warga Palestin dan dua wartawan dan pekerja media Israel telah terbunuh sejak permulaan perang. - BBC
#Perang Palestin-Israel #akses media asing #Gaza #wartawan antarabangsa
;