Wartawan Al Jazeera terbunuh ketika sedang membuat liputan
Agensi
Disember 16, 2023 08:40 MYT
Disember 16, 2023 08:40 MYT
KHAN YOUNIS: Seorang wartawan Al Jazeera dilaporkan maut dalam serangan Israel di Khan Younis, Gaza.
Jurukamera Arab Al Jazeera Samer Abudaqa terbunuh dan rakan sekerjanya Wael Dahdouh cedera ketika sedang membuat laporan di sekolah Farhana di Khan Younis sebelum diserang Israel pada Jumaat.
Pasukan penyelamat tidak dapat sampai ke kawasan kejadian Abudaqa kerana pengeboman Israel.
“Pihak penyelamat baru sahaja berjaya mendapatkan mayat jurukamera Samer Abudaqa,” kata jurucakap rangkaian media itu.
Wartawan yang cedera, Dahdouh terkena serpihan di lengan namun berjaya dibawa ke hospital Nasser untuk mendapatkan rawatan.
Saksi berkata sebelum ini berlaku tembakan hebat di kawasan sekitar sekolah.
Dahdouh berkata ketika serangan, kru media sedang mengiringi penyelamat pertahanan awam dalam misi untuk memindahkan sebuah keluarga selepas rumahnya dibom.
"Kami berjaya merakam kemusnahan yang dahsyat di tempat yang tidak boleh dicapai oleh mana-mana media sejak operasi darat Israel dimulakan," kata Dahdouh dari katil hospitalnya.
Ketika mereka mula berjalan keluar dari kawasan itu, sebiji bom Israel jatuh ke tanah mengenai mereka.
Selepas letupan itu, Dahdouh yang cedera menekan luka ditangannya terus berjalan keluar dari kawasan itu untuk mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun ambulans yang tiba tidak boleh mengakses lokasi serangan kerana terlalu berbahaya.
Usaha seterusnya untuk menyelaraskan laluan selamat untuk menyelamatkan Abudaqa telah ditangguhkan, dan ambulans yang tiba juga telah diserang.
Ramai rakyat Palestin dari bahagian tengah dan utara Gaza telah mencari perlindungan di Khan Younis sejak perang bermula pada Oktober.
Kini, ramai yang telah ditolak lebih jauh ke arah bandar paling selatan di jalur Rafah selepas Israel mempergiatkan operasi ketenteraannya di Khan Younis.