Warnakan air terjun demi 'gender reveal', pasangan Brazil disiasat

Agensi
Oktober 2, 2022 10:40 MYT
Video itu telah dipadamkan dari media sosial mereka namun ia masih boleh ditonton kerana ramai yang memuat turun video tersebut. - Media sosial
MATO GROSSO: Kementerian Alam Sekitar Brazil sedang menyoal siasat pasangan yang didakwa mewarnakan air terjun menjadi biru sebagai sebahagian daripada kejutan parti gender reveal mereka.
Tindakan itu dibimbangi mencemar bekalan air di bandar berdekatan.
Pasangan itu dikecam selepas mereka memuat naik video di Instagram yang memperlihatkan air terjun bertukar menjadi biru sebagai simbol mendapat bayi lelaki.
Video itu telah dipadamkan dari media sosial mereka, namun ia masih boleh ditonton kerana ramai yang memuat turun video tersebut.
Pasangan itu bakal didakwa kerana mencemarkan sungai Queima Pé yang merupakan destinasi pelancongan popular di Mato Grosso, sebuah negeri yang dikelilingi hutan hujan Amazon, tanah lembap, dan dataran savana.
Ia juga sumber air utama untuk bandar Tangará da Serra.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Negara bagi Alam Sekitar Mato Grosso (SEMA), jabatan itu akan menjalankan siasatan untuk menentukan bahan yang digunakan untuk mewarnakan air terjun tersebut dan jika ia telah mencemarkan alam sekitar.
#gender reveal #air terjun warna biru #pasangan Brazil #majlis kejutan jantina anak
;