Waris terdekat MH370 sangat bimbang dengan penamatan misi pencarian
Agensi
Mei 23, 2016 21:00 MYT
Mei 23, 2016 21:00 MYT
Jaringan antarabangsa bagi waris terdekat mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370 pada Isnin menyatakan kebimbangan terhadap misi pencarian yang mungkin ditamatkan pada Ogos.
Mereka sebaliknya mendesak agar misi pencarian itu dilanjutkan dan diperluas.
Kumpulan itu, yang dikenali sebagai Voice370, merayu kepada negara-negara yang terlibat dalan operasi, pengeluar pesawat Boeing dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk meneruskan pencarian di selatan Lautan Hindi.
“Kami sangat bimbang dengan kemungkinan penamatan misi pencarian di kawasan yang disasarkan.
“Usaha untuk mencari dan menemukan pesawat itu perlu terus dijalankan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan kepada AFP.
Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) Martin Dolan, yang bertanggungjawab dalam misi itu, minggu lalu berkata bahawa pengimbasan sonar laut dalam di kawasan seluas 120,000km persegi akan ditamatkan awal Ogos.
Menjawab soalan akhbar The Australian, Dolan menambah bahawa tiada rancangan zon pencarian akan diperluas.
Pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam jadual penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, dengan membawa 239 orang termasuk 152 dari China.
Sebab kehilangan MH370 masih tidak diketahui dan ia menjadi antara misteri terhebat dalam sejarah penerbangan dunia.
Sementara itu, pihak berkuasa memberitahu, pencarian itu sudah menelan belanja sebanyak AS$130 juta (RM531 juta).
Lima objek serpihan yang telah dikenal pasti sama ada ‘hampir pasti’ atau ‘mungkin’ daripada pesawat malang itu telah ditemui ribuan kilometer daripada zon pencarian. Ia termasuk penemuan di Afrika Selatan, Mauritius, Mozambique, Mauritius dan Pulau Reunion yang dipercayai dihanyutkan arus.
Voice370 terkejut dengan kekurangan usaha antarabangsa untuk mencari lebih banyak serpihan seumpamanya sekali gus ‘mencantumkan’ sebarang maklumat tentang kejadian tersebut.
“Usaha besar-besaran perlu dilaksanakan untuk mencari lebih banyak serpihan, jika pihak berkuasa berminat untuk menyelesaikan misteri ini.
“Misteri penerbangan yang paling besar dan tidak pernah berlaku ini perlukan tindakan yang juga tidak pernah dilakukan,” tegas mereka.