Waris penumpang nahas EgyptAir terima pampasan awal RM100 ribu
Astro Awani
Jun 21, 2016 11:34 MYT
Jun 21, 2016 11:34 MYT
Waris 66 penumpang pesawat EgyptAir yang terkorban bulan lalu akan menerima bayaran pampasan pendahuluan kira-kira RM100 ribu untuk setiap penumpang.
Pampasan itu akan dibayar syarikat insurans selepas keluarga terbabit mengemukakan sijil perakuan waris.
Dalam pada itu Jawatankuasa Siasatan Nahas Pesawat Mesir akan selesai membaiki unit memori kotak hitam pesawat EgyptAir dalam masa terdekat.
Menurut kenyataan jawatankuasa itu, proses pembaikan berkenaan dijangka selesai selepas kotak hitam berkenaan dikeringkan dengan peralatan khas.
Penyiasat kemudiannya akan menentukan sama ada proses mengeluarkan data dapat dilakukan atau tidak.
Pesawat Airbus A320 terhempas di utara pantai Mesir ketika dalam perjalanan dari Paris menuju Kaherah 19 Mei lalu.