Waris mangsa nahas MH17 tuntut siarkan imej radar

Agensi
Januari 14, 2016 02:48 MYT
Satu surat protes telah ditulis oleh waris- waris Belanda kepada Rutte bagi membantah data radar yang tidak disediakan dalam siasatan pihak berkuasa Rusia mahupun Ukraine. - Foto AFP
Waris-waris mangsa nahas pesawat MH17 pada Rabu menggesa Perdana Menteri Belanda Mark Rutte untuk melancarkan kempen global bagi mendapatkan imej radar yang boleh membantu mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat tersebut.
Pegawai rasmi Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) membuat kesimpulan dalam siasatan mereka tahun lepas bahawa pesawat Boeing 777 itu telah ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK buatan Rusia dari wilayah yang dikuasai pemberontak pro-Rusia, lapor AFP.
Namun dalam siasatan itu tidak menyebut siapa yang melancarkan senjata tersebut.
Satu siasatan jenayah berasingan juga dijalankan di Belanda untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Satu surat bantahan telah ditulis oleh waris- waris di Belanda kepada Rutte bagi mempertikai tentang data radar yang tidak disediakan dalam siasatan pihak berkuasa Rusia mahupun Ukraine.
Dalam surat bertarikh 12 Januari itu, mereka tidak boleh menerima apabila maklumat penting tersebut enggan didedahkan.
Mereka mahu Rutte menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk menuntut data tersebut segera.
Para penyiasat Belanda mengakui bahawa maklumat radar kedua telah diterima dari Kiev dan Moscow namun tidak radar utama.
Menurut ICAO, radar utama boleh mengesan kapal terbang atau objek lain walaupun tidak dilengkapi transponder.
Itu bermakna radar utama boleh mengesan trajektori peluru berpandu.
BACA: Penyiasat Belanda kaji tuntutan wartawan dalam siasatan MH17
BACA: Lelaki ditangkap cuba jual cebisan nahas pesawat MH17 sebagai cenderamata
BACA: Malaysia komited pastikan dalang dibawa ke muka pengadilan
Namun para penyiasat Belanda pada Oktober berkata, adalah sangat tidak mungkin sistem radar boleh mengesan peluru berpandu tersebut, tetapi waris menolak pendapat itu sepenuhnya.
Di bawah peraturan ICAO data radar utama perlu disimpan selama 30 hari atau lebih lama jika ia diperlukan untuk siasatan kemalangan.
Namun pegawai rasmi Rusia memberitahu pasukan Belanda bahawa mereka tidak menyimpan data tersebut memandangkan benca itu tidak berlaku di wilayah mereka.
Sementara itu, pihak berkuasa Ukraine berkata sistem radar utama mereka buat masa ini dimatikan bagi kerja-kerja penyelenggaraan berjadual.
Penjelasan Kiev adalah 'tidak boleh dipercayai' sementara alasan Rusia adalah 'aneh', kata waris-waris dalam surat tersebut.
Mereka juga menuntut Amerika Syarikat menyerahkan bukti kerana sehari selepas kejadian nahas, Washington menyalahkan penentang pro-Rusia dengan mengatakan mereka mempunyai imej-imej yang menunjukkan trajektori peluru berpandu.
Kiev telah menyokong tuduhan Washington dalam perkara itu, manakala Moscow menafikan sebarang penglibatan, sebaliknya menyalahkan tentera kerajaan Ukraine.
Pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia.
Sejumlah 298 mangsa terkorban dalam tragedi itu, termasuk 43 rakyat Malaysia.
#Kiev #MH17 #Moscow #Rusia #Ukraine