Waris mangsa MH370 di China masih berduka kehilangan anggota keluarga
Shuhaimi Zabri
Mac 7, 2016 14:08 MYT
Mac 7, 2016 14:08 MYT
Esok, genap dua tahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 daripada radar ketika dalam dari penerbangan Kuala Lumpur ke Beijing.
Selepas hampir dua tahun berlalu, keluarga mangsa penumpang di China masih meratapi serta berduka mengenangkan anggota keluarga yang hilang.
Ada di antara waris keluarga mangsa di China mencapai persetujuan dengan MAS untuk menerima wang tunai serta bersetuju untuk tidak meneruskan prosiding undang-undang.
Manakala sebahagian lagi waris mengemukakan saman terhadap MAS ketika tarikh akhir bagi mereka berbuat demikian semakin dekat iaitu pada 8 Mac ini.
Bagi keluarga yang belum mengemukakan saman, hari ini mereka memenuhi Mahkamah Pengangkutan Kereta Api Beijing yang dikhaskan untuk mengendalikan kesemua kes membabitkan MH370.
Ada yang kelihatan menangis serta kesedihan ketika memfailkan saman mereka kepada pegawai mahkamah pada hari terakhir ini.
Mengikut Konvensyen Montreal, kegagalan untuk memfailkan tuntutan sebelum 8 Mac, iaitu dua tahun selepas insiden MH370, mereka akan hilang kelayakan untuk menyaman.
Seorang peguam dari Tetuan Lanpeng, Zhang Qihuai dipetik oleh AFP sebagai berkata, meskipun mereka memfailkan saman tersebut, namun ramai di antara waris penumpang percaya anggota keluarga mereka masih hidup.
Menurutnya, ramai yang tidak bercadang untuk menyaman MAS, sebaliknya mahu terus menunggu.
"Bagaimanapun, masa semakin suntuk dan mereka tiada pilihan lain kerana kehilangan hak untuk menyaman merupakan sesuatu yang sukar diterima.
"Ramai yang memfailkan saman di hari terakhir atas kebimbangan jika mereka menerima pampasan, syarikat (MAS) boleh melepaskan tanggungjawab berhubung insiden berkenaan dan masyarakat akan melupakan kejadian tersebut," katanya.
Pampasan yang dituntut berjumlah di antara lima dan lapan juta yuan (US$755,000 - US$1.23 million) bagi setiap mangsa, bergantung kepada umur dan pendapatan masing-masing.
Sementara itu, APTN melaporkan seorang pesara, Dai Shuqin, 62, yang kehilangan beberapa anggota keluarganya, hampir setiap hari akan menaiki bas menuju ke pejabat MAS di Beijing untuk menyerahkan surat yang tertulis kata-kata "Beritahu kami mengenai kebenarannya dan kembalikan orang tersayang kepada kami."
Selepas menyerahkan surat berkenaan, Dai akan menaiki semula bas dan kembali ke pangsapurinya.
"Apa kebenarannya? Kami ingin tahu sama ada kesemua penumpang itu sudah meninggal dunia atau masih hidup? Bagaimana keadaan mereka sekarang? Adakah mereka dikurung oleh sesiapa atau di mana-mana? Kami tidak tahu mengenainya?
"Kami bimbang. Saya tidak tenang berada di rumah dan perlu pergi ke pejabat MAS setiap hari kerana ia beri sedikit ketenangan dan kelegaan kerana saya melakukannya demi adik. Tidak ada cara untuk menanganinya," katanya.
Sementara itu, Kelley Wen percaya ada sesuatu yang berlaku di sebalik kehilangan pesawat berkenaan.
Katanya, ini kerana dasar tapisan maklumat serta kawalan ketat maklumat yang dilakukan oleh pihak berkuasa China menyebabkan mereka sukar untuk mempercayai setiap makluman yang dikeluarkan kerajaan.
"Keluaga kami masih lagi tidak tahu apa sebenarnya berlaku kepada MH370. Saya tidak lagi boleh bekerja kerana terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan.
"Namun saya berharap, saya akan dapat berdepan dengan kejadian itu dan kembali meneruskan kehidupan seperti biasa.
"8 Mac semakin dekat dan saya kini perlu memutuskan sama ada menerima pampasan dan mencapai persetujuan dengan MAS, atau mengemukakan saman di mahkamah," katanya.
Pesawat MH370 hilang daripada radar sewaktu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, bersama 239 penumpang dan anak kapal.