Warganet muat naik 'meme' lucu iringi kepulangan Novak Djokovic
Hasimi Muhamad
Januari 17, 2022 17:32 MYT
Januari 17, 2022 17:32 MYT
SEJAK seminggu lalu arena sukan dunia hangat memperkatakan isu melibatkan pembatalan visa pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic.
Bagaimanapun, pemain warga Serbia berusia 34 tahun itu terpaksa akur selepas Hakim Mahkamah Persekutuan Australia semalam sekali lagi menolak permohonan Djokovic untuk penarikan semula visanya yang dibatalkan buat kali kedua.
Keputusan itu menyaksikan hasrat Djokovic untuk merangkul rekod Grand Slam ke-21 tidak kesampaian apabila dia diusir keluar dari Australia.
Kekalahan Djokovic dalam "pertarungan undang-undang" yang sensasi itu turut mencuri perhatian warganet, khususnya melibatkan status vaksinasi bintang sukan itu.
Semakan di laman Twitter mendapati, segelintir pengguna media sosial itu berpandangan Djokovic tidak seharusnya terlepas daripada sekatan COVID-19, yang disifatkan paling ketat dikenakan ke atas rakyat Australia.
Beberapa gambar 'meme' (gambar lucu) dimuat naik oleh warganet, seolah-olah mengejek "drama" antara Djokovic dan kerajaan Australia.
Bahkan, ada juga yang kreatif memuat naik meme gambar pemain tenis tersohor itu pada kad 'visa', sementara segelintir yang lain mempertikaikan keputusan pihak berkuasa terhadap akses ke Australia.
Selain itu, pengguna media sosial juga berpandangan apa yang berlaku terhadap pemain tenis itu adalah disebabkan tindakan Djokovic sendiri.
Pada 6 Januari lalu, sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Melbourne, visa Djokovic dibatalkan, mengakibatkan dia ditahan sebagai tahanan imigresen di sebuah hotel di Melbourne.
Pembatalan dibuat susulan status vaksinasinya meskipun pihak Djokovic sebelum ini sudah memohon untuk pengecualian kesihatan bagi membolehkan dia beraksi tanpa perlu divaksin.
Bagaimanapun, pada Isnin lalu, juara bertahan itu dibebaskan dari tahanan imigresen Australia serta merta selepas hakim Anthony Kelly mendapati pembatalan visa Djokovic itu sebagai tidak berasas.
Kelly juga mengarahkan agar pasport dan semua dokumen peribadi dipulangkan, sekali gus memungkinkan penyertaan Djokovic dalam Terbuka Australia 2022.
Pada sesi perbicaraan sama, peguam yang mewakili Kerajaan Persekutuan Australia menyatakan laluan buat Djokovic mungkin lebih sukar kerana Menteri Imigresen, Alex Hawke, masih memiliki kuasa untuk sekali lagi membatalkan visa Djokovic.