Warga Yaman anjur protes susulan kematian Saleh al-Samad

Agensi
April 25, 2018 05:18 MYT
Penyokong Houthi memegang senapang ketika tunjuk perasaan bagi protes pembunuhan Saleh al-Samad pada April 25. - REUTERS
Ribuan warga Yaman berkumpul di wilayah Hodeida pada Rabu bagi mengutuk serangan udara yang mengakibatkan ketua majlis politik Houthi, Saleh al-Samad terkorban pada Khamis lalu.
Pemberontak Houthi sebelum ini mengesahkan Saleh al-Samad terbunuh dalam serangan udara yang diketuai Arab Saudi.
Ketua kumpulan pemberontak Abdul Malek al-Houthi berkata Samad terbunuh bersama enam pengikutnya semasa dalam perjalanan pulang selepas mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa tempatan.
Mahdi al-Mashat, bekas pejuang dan sebelum ini mengetuai pejabat al-Houthi telah dipilih untuk menggantikan jawatan pemimpin kedua tertinggi pemberontak Houthi itu.
Pemberontak Houthi dan Syiah yang bersekongkol dengan Iran berjaya menawan beberapa kawasan di utara Yaman termasuk ibu negara, Sanaa.
Setakat ini lebih daripada 10,000 orang terkorban menerusi beberapa siri serangan yang dilancarkan Arab Saudi dalam memerangi pemberontak Syiah ini.
#Arab Saudi #hodeida #Houthi #saleh al-samad #serangan udara #Yaman
;