Warga UK ditabal lelaki paling tua di dunia

Astro Awani
Mac 31, 2020 05:33 MYT
Bob Weighton, 112, beroleh gelaran itu selepas pemnegang rekod terdahulu Chitetsu Watanabe meninggal dunia. -Youtube @Guinness World Records
Seorang warga United Kingdom (UK) diiktiraf sebagai lelaki paling tua oleh Guinness Book of World Records pada Isnin.
Bob Weighton, yang meraikan hari lahirnya yang ke-112 bulan ini, beroleh gelaran itu selepas pemegang rekod terdahulu Chitetsu Watanabe meninggal dunia lewat Februari lalu.
Rakaman majlis itu, yang dilakukan secara dalam talian ekoran perintah kawalan pergerakan di UK, menunjukkan pengarang Guinness Book of World Records, Craig Glenday mengucapkan selamat hari lahir kepada Weighton.
"Saya berharap agar anda terus dikurniakan kebahagiaan sempena hari lahir ke-112 ini.
"Saya mengesahkan, secara dalam talian, anda lelaki paling tua di dunia," kata Glenday.
Weighton dalam ucapannya berkata dia gembira dengan anugerah itu.
“Saya bukanlah gembira apabila pemegang rekod terdahulu meninggal dunia, tetapi saya teruja dapat hidup sekian lama dan memperoleh banyak kawan," kata Weighton kepada Guinness Book of World Records.
Rekod lelaki tertua sebelum ini dicatat oleh Jiroemon Kimura pada usia 116 dan 54 hari.
Mendiang dilahirkan pada 19 April 1897 dan meninggal dunia pada 12 Jun 2013.
Kane Tanaka, seorang wanita, ialah manusia paling tua di dunia dan baru-baru ini menyambut hari lahirnya yang ke-117 pada Januari lalu.
#Chitetsu Watanabe #Craig Glenday #Guinness Book of World Records #Jiroemon Kimura #Kane Tanaka #lelaki paling tua #United Kingdom
;