Warga Turki catat rekod dijangkiti COVID-19 sepanjang 14 bulan
Agensi
Februari 22, 2022 17:36 MYT
Februari 22, 2022 17:36 MYT
KALI pertama Muzaffer Kayasan dijangkiti COVID-19, dia menyangka dia akan menemui maut kerana penyakit leukemia yang dihidapinya.
Selepas 14 bulan dan 78 kali dijangkiti COVID-19, Kayasan, 56, masih bergelut dengan virus berkenaan dan masih dikuarantin di rumah secara berterusan.
Kayasan kini dipercayai pemegang rekod tertinggi pernah dijangkiti COVID-19. Menurut pakar kesihatan yang pernah merawatnya, Kayasan berkemungkinan mempunyai sistem imun yang tinggi akibat barah yang dihidapinya.
Menurut Kayasan, walaupun dia sering keluar masuk hospital sejak Nov 2020, semangatnya tidak pernah luntur untuk kembali sembuh agar dapat menghabiskan masa dengan cucu tersayangnya.
“Mungkin virus ini adalah versi “wanita” - ia (virus) sungguh obses dengan saya,” kata Kayasan secara berjenaka, lapor portal berita Reuters, baru-baru ini.
Tempoh sembilan bulan dirawat di hospital dan lima bulan lagi dikuarantin di rumah, Kayasan mengakui bahawa dia cukup rindukan cucunya. Azra. Kini, mereka hanya boleh berbual melalui pintu kaca di kediamannya apabila Azra datang melawat.
“Saya akan dapat kembali bermain bersama anda selepas saya sembuh,” kata Kayasan kepada Azra selepas menghadiahkan cucunya satu telefon plastik.
Pesakit koronovirus yang mempunyai cabaran sistem imun pasti akan berdepan jangkitan yang agak lama dan akan mengalami masalah pernafasan, menurut satu kajian terbitan Jurnal Perubatan New England.
Persatuan Leukemia dan Limfoma pula menunjukkan seorang dari empat pesakit barah tidak menghasilkan sebarang antibodi selepas menerima dua suntikan vaksin.
Doktor Serap Simsek Yavuz, seorang pakar perubatan yang merawat Kayasan dilaporkan berkata, pesakitnya mempunyai rekod kes terpanjang dan kini sedang dipantau secara rapat untuk sebarang mutasi.
“Kes pesakit yang dijangkiti virus COVID-19 selama 441 hari bukan perkara biasa,” tambah Doktor Cagri Buke, pakar penyakit berjangkit dan mikrobiologi klinikal di Acibadem Hospital.
Akibat dijangkiti berulang kali, Kayasan tidak menerima sebarang vaksin, Kerajaan tempatan hanya membenarkan pesakit yang sudah pulih untuk menerima suntikan vaksin.
Kayasan, yang sudah hilang deria rasa dan bau, kini telah merayu kepada Kerajaan Turki untuk melonggarkan kuarantin yang sedang dijalankan.
Anak lelakinya, Gokhan berkata, biar apa pun dugaan dihadapi, bapanya sentiasa kekal positif.
“Kami sering memberitahunya, anda seorang yang positif dan dijangkiti COVID-19 buat satu tempoh yang panjang dan tidak mungkin akan berubah menjadi negatif.
“Dia (Kayasan) akan menjawab dengan berkata yang ... dia masih tersangkut di lampu merah buat sekian lama dan tidak boleh ke mana-mana…”