Warga Singapura mohon maaf kepada Agong
Sinar Harian
Julai 29, 2024 08:30 MYT
Julai 29, 2024 08:30 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang warga Singapura yang memiliki dua kerakyatan telah memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Mahkamah Majistret di sini dan diarahkan meninggalkan Malaysia setelah membayar denda pada minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 32 tahun, diperintah membayar denda keseluruhan berjumlah RM30,000 setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menceroboh dan memecahkan cermin di bilik simpanan Jabatan Diraja Johor dan Makmal Konservasi Perabot dan Seni Visual, Muzium Diraja Abu Bakar di sini pada 25 Februari lalu.
Selain itu, dia merekodkan pengakuan bersalah terhadap tiga lagi kesalahan membabitkan perbuatan khianat memecahkan cermin bilik air Hotel Z bernilai RM1,500 dan memasukkan dadah ke dalam badan sendiri serta tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan.
Dia yang juga merupakan pesakit mental telah diarahkan untuk meninggalkan negara ini setelah membayar keseluruhan nilai denda.
Menurut peguam dari Tetuan Hasshahari & Partners, Mohd Radzlan Jalaludin mewakili tertuduh, lelaki itu yang memiliki kerakyatan Belanda telah dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan RM4,500 di atas kesalahan memecahkan cermin bilik simpanan dan menceroboh Muzium Diraja Abu Bakar.
Untuk kesalahan ketiga, dia didenda RM3,000 setelah memecahkan cermin kaca di Hotel Z sewaktu menginap di situ.
Dia turut didenda tambahan RM10,000 di bawah Akta Imigresen setelah menetap di negara ini melebihi tempoh ditetapkan selama 183 hari.
Bagi kesalahan terakhir, dia mengaku salah atas kesalahan memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam tubuhnya. Dia didenda RM2,500 di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Di dalam mitigasi bagi rayuan hukuman, Mohd Radzlan telah berhujah dan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya merupakan pesakit mental yang telah disahkan oleh Hospital Permai Johor, bagaimanapun waras ketika kejadian berlaku.
“Dia turut menyesal di atas perbuatannya dan memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta kerabat Diraja Johor, kerajaan Johor dan kerajaan Malaysia di atas kesalahan kali pertama dilakukan itu,” katanya kepada Sinar Harian. - Sinar Harian