Warga Singapura dinasihatkan supaya tangguh semua perjalanan ke Iran - Kementerian Luar

Bernama
April 14, 2024 23:13 MYT
Singapura menasihatkan rakyatnya supaya menangguhkan semua perjalanan ke Iran "berikutan keadaan keselamatan terkini,'' kata Kementerian Luarnya (MFA) pada Ahad. - Gambar hiasan
SINGAPURA: Singapura menasihatkan rakyatnya supaya menangguhkan semua perjalanan ke Iran "berikutan keadaan keselamatan terkini,'' kata Kementerian Luarnya (MFA) pada Ahad.
MFA dalam nasihat perjalanannya untuk Iran juga meminta warga Singapura yang kini berada di negara-negara Timur Tengah untuk sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan semasa dengan rapi.
''Singapura tidak mempunyai perwakilan diplomatik di Iran, yang mengehadkan keupayaan kami memberikan bantuan konsular dalam kecemasan,'' katanya sambil menambah mereka yang memerlukan bantuan konsular di Iran boleh menghubungi Pejabat Bertugas 24-jam MFA.
MFA juga menggalakkan rakyat Singaoura supaya melakukan pendaftaran elektronik (eRegister) dengan kementerian itu di https://eregister.mfa.gov.sg supaya mereka boleh dihubungi sekiranya ada keperluan.
Nasihat perjalanan itu dikeluarkan selepas Iran melancarkan serangan langsung buat kali pertama ke atas Israel pada Sabtu.
Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA) melaporkan bahawa Angkatan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) melancarkan sejumlah misil ke atas sasaran tertentu di dalam wilayah diduduki Israel.
IRGC berkata serangan itu sebagai tindak balas terhadap "banyak sekali jenayah" dilakukan Israel, termasuk serangan ke atas Kedutaan Iran di Damsyik minggu lepas.
-- BERNAMA
#Singapura #tangguh perjalanan #Iran #mfa
;