Warga Perancis dipenggal militan IS
Astro Awani
September 25, 2014 10:20 MYT
September 25, 2014 10:20 MYT
Militan yang dikaitkan dengan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) mendakwa mereka telah memenggal kepala seorang warga Perancis setelah kerajaan negara itu menolak permintaan untuk menghentikan serangan di Iraq.
Tindakan mereka telah dimuat naik dalam bentuk video pada Rabu.
Herve Gourdel, 55, diculik pada Ahad oleh Jund al-Khilifa, atau "Tentera Khalifah," ketika mendaki di sebuah taman tarikan pelancong yang kini menjadi tempat perlindungan golongan militan.
Tindakan ini dipercayai sebagai menyahut seruan “ISIS untuk Orang Islam” dengan membunuh warga Barat yang negaranya menyertai kempen perang menentang kumpulan militan di Iraq dan Syria.
Video bertajuk "Mesej Berdarah kepada kerajaan Perancis" itu telah dimuat naik ke laman web kumpulan militan tersebut.
Klip video itu menunjukkan Gourdel dalam keadaan berlutut dengan tangannya diikat belakang dan dikelilingi empat militan bersenjata dan bertopeng.
Salah seorang militan membaca ucapan mengutuk campur tangan "Jenayah Tentera Salib Perancis" menentang umat Islam di Algeria, Mali dan Iraq.
Kenyataan itu disiarkan sehari selepas Hollande bertegas untuk tidak tunduk kepada ugutan kumpulan militan itu untuk menamatkan serangan udara di Iraq dalam masa 24 jam.
"Berdasarkan keadaan ini, kami tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan sebarang tekanan yang diberikan daripada mereka," kata beliau dalam satu urusan rasmi di New York.
Perancis, yang menyertai satu gabungan operasi ketenteraan di Syria yang diketuai Amerika Syarikat, mula melancarkan serangan terhadap ISIS sejak Selasa.