Warga Palestin rempuh pejalan kaki Yahudi ditembak mati

Agensi
Oktober 23, 2014 09:48 MYT
Ini adalah insiden langgar lari kedua yang berlaku dalam tempoh tiga bulan membaitkan warga Palestin.
Seorang warga Palestin bertindak memandu keretanya dan merempuh sekumpulan pejalan kaki di Baitul-Maqdis, meragut nyawa seorang bayi dan mencederakan enam yang lain lapor polis Israel yang pantas menggelarkan insiden itu sebagai “tindakan keganasan langgar dan lari”.
Ini adalah insiden kedua yang berlaku dalam tempoh tiga bulan sekali gus memaksa perdana menteri rejim Israel mengeluarkan arahan agar keselamatan dipertingkat.
Menurut pihak hospital Israel, pemandu terbabit dikenali sebagai Abed Abdelrahman Shaludeh, warga Palestin dari Silwan, ke timur Baitul-Maqdis.
Dia yang berusia 21 tahun kemudiannya meninggal dunia selepas cedera ditembak ketika cuba meninggalkan kawasan terbabit.
Menurut laporan AFP dalam insiden awal malam waktu tempatan itu, kereta terbabit dilihat dipandu laju menuju ke kawasan pejalan kaki berhampiran tempat menunggu keretapi tram Ammunition Hill.
Pada awalnya tujuh dilaporkan cedera sebelum bayi perempuan tebabit dilaporkan meninggal dunia di hospital.
Dalam insiden Ogos lalu, seorang warga Palestin yang memandu sebuah jengkaut bertindak merempuh sebuah bas, mengakibat seorang terbunuh dan mencederakan yang lain.
#Baitul-Maqdis #Israel #kemalangan #Palestin
;