Warga New Delhi bertahan dalam suhu menghampiri 40 Celsius, kualiti udara merosot

Agensi
Mac 21, 2022 15:49 MYT
Tidak cukup dengan ketidakselesaan akibat kepanasan, bahang itu bertembung pula dengan paras kelembapan yang berubah-ubah antara 75 peratus ke 26 peratus. - Reuters
NEW DELHI: Ibu negara India merekodkan suhu maksimum 38.3 darjah Celsius pada Ahad, menjadikannya suatu keadaan yang luar biasa untuk musim ini iaitu 8 darjah lebih tinggi, menurut Jabatan Meteorologi negara itu.
Suhu minimum pula adalah pada bacaan 21.2 darjah Celsius, iaitu 5 darjah lebih tinggi daripada yang lazimnya dirasai bagi bulan ini.
Penduduk di sekitar ibu negara tersebut lazim berdepan musim panas bermula April, namun keadaan sekarang menunjukkan suhu panas itu tiba sebulan lebih awal, menurut Times of India.
Stesen kaji cuaca di Aya Nagar dan Ridge mencatatkan suhu maksimum 38.4 darjah Celsius pada Ahad, manakala suhu di Najafgarh meningkat ke 39.5 darjah Celsius.
Tidak cukup dengan ketidakselesaan akibat kepanasan, bahang itu bertembung pula dengan paras kelembapan yang berubah-ubah antara 75 peratus ke 26 peratus.
Itu sekali gus menjadikan urusan di luar bangunan suatu yang mencabar bagi ramai orang, terutamanya kanak-kanak, warga emas dan juga individu yang mempunyai komplikasi kesihatan.
Gelombang haba turut melanda barat Rajasthan, Marathwada dan Vidarbha di negeri Maharashtra, selain sebahagian negeri Gujarat terus menerima suhu panas sejak Jumaat lalu.
“Kadar suria tinggi dan udara panas dari wilayah gurun juga kini berlaku di barat laut India.
“Ia juga adalah kesan daripada aktiviti antisiklon di wilayah yang bertekanan tinggi di barat daya Rajasthan hingga memerangkap udara panas,” ulas bekas saintis di biro kaji cuaca, Institut Kajian Perubahan Iklim, Kerala, DS Pai.
Pada 19 Mac, suhu maksimum yang direkodkan adalah melebihi 40 Celsius iaitu lonjakan beberapa darjah lebih tinggi berbanding paras normal di negeri Himachal Pradesh, Haryana, Chandigarh, Delhi, Rajasthan, Uttarakhand dan Punjab.
Ia berbeza dengan ramalan sebelum ini, apabila jabatan kaji cuaca meramalkan keadaan langit yang cerah pada Isnin, dengan suhu maksimum dan minimum antara 37 dan 21 darjah Celsius.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam lalu, New Delhi turut berdepan satu lagi masalah yang menjejaskan kesihatan awam iaitu kemerosotan kualiti udara.
Menurut data bahagian kawalan pencemaran udara pusat, Indeks Kualiti Udara (AQI) menunjukkan bacaan 242, iaitu dalam kategori buruk.
Bacaan AQI dari sifar hingga 50 dikategorikan sebagai ‘baik’, 51 hingga 100 adalah ‘memuaskan’, 101 hingga 200 adalah sederhana, 201 hingga 300 adalah ‘buruk, 301 hingga 400 ‘sangat buruk’, dan 401 hingga 500 adalah ‘bahaya’.
#cuaca panas #New Delhi #ramalan cuaca #cuaca ekstrem
;