Warga Malaysia didakwa bunuh ibu lima anak di Singapura

Astro Awani
Disember 21, 2016 09:05 MYT
Ahmad Muin kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut dan akan hadir ke mahkamah semula pada 28 Disember ini. - Gambar hiasan
Seorang lelaki warga Malaysia dihadapkan ke mahkamah Singapura hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita di Singapura November lalu.
Ahmad Muin Yaacob, 23, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang juga penyelia pekerja pembersihan di Terminal Feri Tanah Merah, Maimunah Awang, 54, pada 24 November lalu.
Mayat mangsa ditemui dengan kesan kecederaan pada leher mangsa.
Ahmad Muin ditahan di Malaysia Ahad lalu dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura pada hari berikutnya.
Semasa pertuduhan dibacakan, tiada sebarang emosi ditunjukkan tertuduh tetapi dia bertanya kepada hakim "bolehkah saya diselamatkan dari hukuman mati jika saya bekerjasama dengan pihak berkuasa?.
Ahmad Muin kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut dan akan hadir ke mahkamah semula pada 28 Disember ini.
Dia berhadapan hukuman mati jika sabit kesalahan.
#Ahmad Muin Yaacob #Maimunah Awang #Warga Malaysia dituduh bunuh