Warga Malaysia dan isteri cedera ditembak di Narathiwat Thailand

Bernama
Disember 14, 2015 07:16 MYT
Polis Thailand berkata pasangan itu dalam perjalanan dari Takbai untuk pulang ke rumah si isteri apabila mereka diserang oleh orang dari sebuah kereta. - Gambar Hiasan
Seorang warga Malaysia cedera parah sementara isterinya warga Thai cedera ditembak dalam satu kejadian di jalan raya Narathiwat-Takbai di Kg Kaluwa, daerah Muang Narathiwat pada Isnin.
Mangsa warga Malaysia itu dikenali sebagai Mohamad Shahriduwan Ismail, 24, berasal dari Kg Kedai Buluh Badang, Kota Bharu, dan isterinya, 38, berasal dari Daerah Yingo, Narathiwat.
Kolonel Polis Manit Yimsai, Ketua Polis Daerah Muang Narathiwat, berkata pasangan itu dalam perjalanan dari Takbai untuk pulang ke rumah si isteri apabila mereka diserang oleh orang dari sebuah kereta.
Menurut Manit, isteri Mohamad yang memandu kereta ketika itu berjaya mengawal kenderaannya dan seterusnya melanggar kereta suspek hingga terbalik.
Beliau berkata si isteri terus memandu kereta hingga sampai di Hospital Narathiwat untuk mendapatkan rawatan.
Polis sedang memburu suspek, dan menyiasat motif kejadian itu.
BACA: Ahli perniagaan Malaysia dibunuh kerana hutang RM4.11 juta - Polis Thai
BACA: Ahli perniagaan Malaysia ditembak mati di Hatyai
#Manit Yimsai #Narathiwat #tembak #Thailand
;