Warga Malaysia cuba seludup dadah di Sydney dijatuhi hukuman penjara 6 tahun
Bernama
Februari 23, 2013 12:23 MYT
Februari 23, 2013 12:23 MYT
Seorang rakyat Malaysia yang cuba menyeludup methamphetamine bernilai lebih A$1 juta melalui Lapangan Terbang Sydney dijatuhi hukuman penjara enam tahun.
Thiagu Supramaniam, 32, yang bakal dinaikkan pangkat kapten pesawat Boeing 747 Malaysia Airlines ditahan memiliki 4.49kg methamphetamine untuk disampaikan kepada seorang lagi pembawa dadah di Hotel Stamford di Sydney, demikian lapor Daily Telegraph.
Supramaniam ditahan apabila pihak kastam melakukan pemeriksaan rambang di pesawatnya selepas tiba dari Kuala Lumpur pada 10 Januari tahun lalu dan menemui enam pakej dadah tersebut di dalam bagasi miliknya.
Supramaniam mengaku bersalah menyeludup dadah tersebut yang memiliki tahap 80 peratus tulen.
Dia mengaku kepada pihak penyisat yang dia sebelum ini mengimport empat kali pakej yang serupa ke Australia.
Mahkamah diberitahu Supramaniam menjadi kaki judi yang menyebabkannya membuat perjanjian dengan peminjam wang yang mempunyai kaitan dengan kartel dadah, yang mengancam keluarganya.
Dia mula membuat pertaruhan perlawanan bola sepak semasa Piala Euro 2008 dan berhutang lebih A$15,000 dan faedah yang tinggi.
Mahkamah diberitahu, Supramaniam datang Australia untuk menetap selama semalam sebanyak 47 kali dalam tempoh lebih enam bulan pada 2011.
Pada Jumaat, hakim Ian McClintock di Mahkamah Daerah menjatuhi hukuman penjara enam tahun ke atas Supramaniam tanpa tempoh parol selama empat tahun.
Dia layak untuk mendapat parol pada Januari 2016.