Warga Malaysia antara lima ditahan terlibat kes culik ahli perniagaan
Hilmi Malik
Disember 9, 2020 00:13 MYT
Disember 9, 2020 00:13 MYT
BANGKOK : Polis Thailand telah menahan seorang lelaki warganegara Malaysia serta empat lagi yang lain selepas disyaki terlibat dengan kes penculikan seorang ahli perniagaan di Bangkok.
Ketua Biro Polis Metropolitan, Leftenan Jeneral Pakapong Pongpetra berkata, suspek yang berusia 49 tahun bersama empat lagi warga Thailand ditahan pada Selasa di wilayah Suphan Buri kira-kira 100 kilometer dari Bangkok.
Polis Thailand menerusi satu kenyataan memaklumkan, mangsa yang merupakan ahli perniagaan berusia 43 tahun itu diculik di Sukhumvit Soi, Bangkok kira-kira jam 4.30 petang waktu tempatan.
“Hasil siasatan, suspek warga Malaysia itu telah menghubungi rakan mangsa selain menuntut wang tebusan sebanyak RM1.86 juta.
“Sisatan mula dijalankan apabila rakan mangsa memaklumkan kepada pihak berkuasa dan polis berjaya menjejaki suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di wilayah itu,” katanya menerusi kenyataan itu.
Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan sementara kesemua lima suspek berkenaan ditahan.
Menurut Pakapong, wujud pertikaian melibatkan perniagaan di antara suspek dan juga mangsa yang membawa kepada punca penculikan tersebut.
Tambahnya, sekurang-kurangnya tujuh suspek dikatakan terlibat dengan kes penculikan itu dan dua daripadanya dipercayai warga Myanmar.
Polis kini sedang giat menjalankan siasatan.