Warga London diajak lepas geram pada 'punchbag' Boris dan Brexit

Agensi
September 29, 2018 19:52 MYT
Kelas Brexfit ini dianjurkan oleh syarikat kecergasan Gymbox, yang dimiliki oleh Marc Diaper.
Penduduk London yang kecewa dengan impak Brexit boleh melepaskan kemarahan mereka di gim kecergasan khas yang menawarkan latihan punchbag, yang diletakkan gambar-gambar ahli politik utama seperti Boris Johnson dan Jean-Claude Juncker.
Sesi senaman 30 minit itu juga menampilkan aktiviti menarik seperti Theresa May Sack Race, Jacob Rees-Logg Lift, dan Politico Headslammer di mana para peserta boleh melepaskan ‘geram’ ke atas gambar Perdana Menteri Britain Theresa May dan pemimpin parti Buruh Jeremy Corbyn.
Terdapat juga sesi Cameron Quitters Corner yang dinamakan sempena nama pemimpin terdahulu David Cameron.
Kelas Brexfit ini dianjurkan oleh syarikat kecergasan Gymbox, yang dimiliki oleh Marc Diaper. Beliau menyatakan bahawa tema itu dipilih hasil tinjauannya ke atas kekecewaan penduduk setempat.
52 peratus responden berkata kemarahan Brexit timbul susulan masalah harga sewa dan kelewatan tren.
"Ini adalah cara yang lebih baik untuk benar-benar melepaskan kekecewaan dan kemarahan bila pelanggan dapat menumbuk ahli politik paling dibenci mereka di beg tumbuk," katanya kepada Reuters.
Kursus ini direka dengan bantuan seorang pakar pengurusan kemarahan, kata pengajar kecergasan Boriss Visokoborskis.
“Mereka meninggalkan kelas kami dengan rasa lega, lebih ringan dan mereka mahu melakukan sesuatu yang lebih baik untuk diri mereka sendiri,” katanya.
Setelah enam bulan Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), Theresa May masih belum lagi mencapai kesepakatan mengenai syarat perceraian dan rancangannya untuk hubungan perdagangan masa depan yang telah ditolak oleh kedua-dua Kesatuan Eropah serta Parti Konservatifnya sendiri.
#Brexit #EU #gim #Kesatuan Eropah #Theresa May
;