Warga Kuwait mengundi dalam Pilihan Raya Parlimen
Bernama
April 4, 2024 07:40 MYT
April 4, 2024 07:40 MYT
BANDARAYA KUWAIT: Pengundi di Kuwait keluar mengundi pada Khamis untuk memilih Ahli Parlimen mereka, pilihan raya pertama di bawah Amir Kuwait baharu, Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Sabah yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara itu tahun lepas, lapor Agensi Anadolu (AA).
Pengundian bermula dari 12 tengah hari (1000 GMT) dan ditutup pada tengah malam (2200 GMT).
Kira-kira 834,733 pemilih layak mengundi pada Khamis untuk memilih 50 penggubal undang-undang di Dewan Nasional daripada 200 calon yang bertanding, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu.
Terdapat 13 calon wanita bertanding dalam pilihan raya kali ini, jumlah terendah sejak 1975.
Pada Isnin, Amir Kuwait menyeru pengundi untuk menyertai pilihan raya itu dan tidak menghiraukan "mereka yang membuat hasutan dan mengancam perpaduan negara," lapor agensi berita negara itu, KUNA.
Sheikh Meshal mengeluarkan dekri untuk membubarkan parlimen pada 15 Feb lepas kerana berlaku pelanggaran perlembagaan.
-- BERNAMA