Warga Jakarta berdepan denda, dinafi bantuan sosial jika tolak vaksin COVID-19
Astro Awani
Februari 19, 2021 10:11 MYT
Februari 19, 2021 10:11 MYT
JAKARTA: Pemerintah Jakarta memberi amaran kepada warganya agar mengambil bahagian dalam program vaksinasi negara atau berdepan 'hukuman'.
Penduduk ibu kota Indonesia itu berdepan, antara lain, denda sehingga 5 juta rupiah (sekitar RM1,440) jika enggan mengambil vaksin COVID-19.
Hukuman denda itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap peraturan baharu yang mewajibkan inokulasi terhadap jangkitan COVID-19, lapor Reuters.
Wakil Gabenor Jakarta, Ahmad Riza Patria berkata pihak berkuasa hanya mematuhi peraturan dan langkah tersebut adalah jalan terakhir di Jakarta yang menempatkan sekitar seperempat daripada keseluruhan penduduk negara itu.
"Sekiranya anda enggan divaksin, ada dua perkara akan berlaku: Bantuan sosial tidak akan diberikan, (dan) denda," kata Ahmad Riza.
Indonesia merekodkan sejumlah 1.2 juta jangkitan koronavirus setakat ini.
Hampir 34,000 warganya meninggal dunia akibat jangkitan virus tersebut setakat ini.
Kerajaan menjangkakan sejumlah 181.5 juta daripada 270 juta penduduknya divaksin dalam 15 bulan di bawah program vaksinasi yang dimulai bulan lalu.
Indonesia mengumumkan perintah presiden awal bulan ini yang menetapkan bahawa sesiapa yang menolak vaksin mungkin diketepikan daripada bantuan sosial atau perkhidmatan kerajaan, atau diminta membayar denda.
Hukuman tersebut akan ditentukan oleh agensi kesihatan daerah atau kerajaan tempatan.
"Langkah ini adalah usaha terakhir kami untuk mendorong penyertaan orang ramai.
"Sasaran 181.5 juta orang adalah sangat besar," kata pegawai kementerian kesihatan Siti Nadia Tarmizi.
Peraturan baharu ini susulan keraguan masyarakat selama berbulan-bulan tentang sama ada vaksin koronavirus selamat, berkesan dan halal.
#vaksin
#program vaksinasi
#Jakarta
#5 juta rupiah
#Ahmad Riza Patria
#Bantuan sosial
#dinafi bantuan sosial
#inokulasi